‘Penglibatan Majlis Buku seperti salah guna kuasa’

‘Penglibatan Majlis Buku seperti salah guna kuasa’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tiga kesatuan perniagaan buku dan alat tulis menggesa kerajaan menghalang Majlis Buku Kebangsaan Malaysia (MBKM) daripada terlibat dengan perniagaan penjualan dalam platform digital Dropee Bookuku.

Menerusi kenyataan bersama, Persatuan Kontraktor Buku Malaysia (PKBM), Persatuan Penjual Buku Malaysia (MBA) dan Persekutuan Pertubuhan Penjual Alatulis dan Buku Malaysia (PPPABM) menyifatkan, penglibatan MBKM itu sebagai salah guna kuasa, menekan pasaran saingan bebas serta terbuka sedia ada.

Ketiga-tiga persatuan turut menegaskan, MBKM yang bernaung di bawah Kementerian Pendidikan tidak boleh terlibat dalam platform digital Dropee milik syarikat swasta.

“Ahli kami terdiri daripada penjual buku, pengedar pelbagai kaum di semua negeri dengan lebih 700 yang aktif. Terdapat juga beberapa ribu bukan ahli yang turut membekalkan buku dan alat tulis kepada sekolah serta jabatan kerajaan.

“Sememangnya industri ini menghadapi banyak cabaran dalam tempoh pandemik Covid-19 dan kami mengalu-alukan sebarang idea untuk membantu meningkatkan perniagaan.

“MBKM tidak membantu tetapi melakukan sebaliknya untuk menjejaskan industri buku. Penglibatannya sebagai agensi kerajaan bagi pihak Dropee dikecam sekeras-kerasnya,” kata kenyataan itu, hari ini. 

Mengulas lanjut, kenyataan itu berpendirian bahawa MBKM perlu kembali kepada objektif asal penubuhan seperti UNESCO 1968 dalam membantu mewujudkan tabiat membaca.

Sementara itu ketiga-tiga presiden persatuan berharap dapat bertemu Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob untuk menghantar memorandum dan meminta campur tangan beliau menghentikan penglibatan MBKM dalam platform tersebut. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN