penduduk bimbang

Penghuni Taman Makmur Karak Setia bimbang setiap kali hujan lebat

MOHD. YUSOF Musa menunjukkan banjir kilat di Taman Makmur Karak Setia di Bentong, Pahang yang berlaku pada 13 April lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BENTONG: Seramai 234 penghuni Taman Makmur Karak Setia di sini bimbang kemeriahan Aidilfitri yang dinanti-nanti selama dua tahun pada awal Mei ini terganggu jika hujan lebat turun pada hari kemenangan itu.

Ini kerana, kawasan perumahan mereka sering dilanda banjir kilat setiap kali hujan lebat sebagaimana kejadian terbaharu minggu lalu yang mana jalan di  laluan  perumahan itu digenangi air limpahan akibat longkang tersumbat. 

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang penduduk Mohd. Yusof Musa, 44, berkata, banjir kilat berlaku disebabkan longkang besar tersumbat yang belum dibersihkan kesan banjir besar pertengahan tahun lalu.

“Taman ini berdekatan dengan Sungai Karak turut memberi impak kepada kawasan ini terutama sekiranya air naik melimpah masuk melalui longkang besar ke taman perumahan ini.

“Jadi, apabila laluan air tersekat kerana sampah sarap tidak dibuang menyebabkan berlakunya banjir kilat. Trauma penduduk kesan banjir bulan Disember tahun lalu masih lagi terasa,” katanya di sini semalam.

Mohd. Yusof berkata, penduduk berharap pihak berkuasa tempatan (PBT) dapat menyegerakan pembaikan jalan dan saluran longkang yang tersumbat bagi mengelakkan kejadian berulang. 

Seorang lagi penduduk, Mohammad Nazarul Abd. Talib, 28, berharap pihak Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) dan PBT dapat bekerjasama bagi mengatasi masalah jalan rosak dan membersihkan longkang tersumbat. 

Ini kerana ujarnya, penduduk bimbang kejadian banjir kilat ini berulang ketika penduduk sedang menyambut Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi. 

Menurutnya, penduduk bimbang kerana Jabatan Meteorologi  Malaysia (JMM) menyatakan fenomena cuaca di negara ini tidak menentu dan boleh menurunkan jumlah hujan melebihi biasa. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya