ALOR SETAR: Aktiviti pengedaran benih padi di negeri ini perlahan walaupun musim tanaman padi sudah bermula Mac lalu dipercayai kerana musim penanaman yang jatuh pada bulan Ramadan.
Pengarah Kawalselia Padi Dan Beras negeri, Abdul Rahman Tajudin berkata, sehubungan itu petani disarankan untuk mendapatkan benih padi walaupun tidak menjalankan aktiviti penanaman bagi mengelakkan pembelian serentak sekali gus dikhuatiri berlaku eksploitasi harganya.
“Pengedaran benih padi ini sedikit perlahan berkemungkinan disebabkan musim tanaman padi kali ini pada bulan puasa di mana kebanyakan petani menangguhkan aktiviti penanaman mereka.
“Namun petani dinasihatkan berbuat demikian bagi mengelak pembelian serentak dan eksploitasi harga benih padi apabila berlaku permintaan tinggi,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Tambah beliau, Seksyen Kawalselia Padi Dan Beras, Kementerian Pertanian dan Industri Makanan melancarkan “Ops Benih” pada 12 April lepas bertujuan memeriksa bekalan dan pengedaran benih padi sah di negeri ini serta pematuhan Perintah Tetap Ketua Pengarah Kawalselia Padi Dan Beras.
“Operasi mendapati secara keseluruhannya mematuhi peraturan yang ditetapkan serta mematuhi harga maksimum di ditetapkan iaitu RM31 di peringkat borong manakala RM35 di peringkat runcit bagi setiap kampit 20 kilogram,” katanya.
Jelasnya, selain itu, hasil pemeriksaan juga mendapati bekalan benih padi sah berada dalam keadaan stabil dan boleh diperoleh dari mana-mana peruncit yang diberi kebenaran oleh Ketua Pengarah Kawalselia Padi Dan Beras.
Tambah beliau, Kawalselia Padi Dan Beras ingin memberi amaran dan tidak berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati cuba mengambil kesempatan menaikkan harga atau menyembunyikan benih padi bagi tujuan menahan dari pasaran.
“Tindakan tegas akan diambil di bawah peruntukan undang- undang sedia ada yang dikuatkuasakan oleh kementerian ini,” katanya.
Tambahnya, operasi yang turut disertai oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Makanan negeri, Azman Nasrudin.- UTUSAN










