PETALING JAYA: Memiliki jongkong emas bernilai lebih RM200,000 selain koleksi jam mewah lebih RM2 juta antara kemewahan dimiliki seorang pengarah syarikat subkontraktor (sub con) yang ditahan bersama lapan yang lain kerana disyaki terlibat dalam rasuah bernilai RM2.3 bilion.
Pemilikan harta tersebut diperoleh suspek selepas bersekongkol dengan pegawai eksekutif muda di syarikat GLC dan menerima rasuah membabitkan projek dalam syarikat tersebut.
Sumber Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memberitahu Utusan Malaysia, lelaki berusia 38 tahun itu juga dipercayai memiliki kenderaan mewah melebihi RM1.6 juta selain rumah dan unit kondominium mewah.
“Suspek berkenaan merupakan bekas pekerja yang bertugas di Petronas Carigali Sdn. Bhd. (PCSB) sebelum berhenti dan membuka syarikat penyelenggaraan,” katanya di sini semalam.
Mengulas lebih lanjut, kata sumber itu, tiga daripada lapan suspek yang ditahan SPRM pada Sabtu lalu bagi membantu siasatan disambung reman selama empat hari.
Mereka yang disambung reman iaitu Eksekutif Muda syarikat GLC itu; Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) dan Pengarah Syarikat sub con terlibat.
“Kesemua mereka disambung reman bermula hari ini bagi siasatan lanjut,” jelasnya.
Utusan Malaysia kelmarin melaporkan, pegawai eksekutif syarikat muda berkenaan dipercayai memperoleh RM40 juta hasil bayaran diperoleh daripada syarikat sub con yang mempunyai kaitan dengannya.
Keuntungan yang diperoleh suspek berusia 35 tahun itu dikongsi bersama-sama bekas rakan sekerjanya yang juga pernah bertugas dengan syarikat GLC berkenaan.
Hasil bayaran itu juga digunakan pegawai eksekutif berkenaan membeli tanah di sebuah lokasi di Pahang bernilai RM450,000 sebelum membina sebuah rumah banglo dengan kos renovasi mencecah RM1.4 juta.
Syarikat minyak milik negara, Petronas sebelum ini mengesahkan seorang daripada eksekutif peringkat rendahnya ditahan SPRM kerana disyaki terlibat rasuah.
Syarikat itu turut menyatakan komitmen untuk memberi kerjasama sepenuhnya dengan SPRM dalam siasatannya.
Dalam pada itu, SPRM dalam satu kenyataan di sini memaklumkan seorang daripada sembilan individu yang ditahan bagi membantu siasatan isu rasuah berhubung projek di syarikat GLC berkenaan merupakan eksekutif muda (junior level executives) bukannya Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) seperti dakwaan segelintir pihak.
Terdahulu, lapan individu terdiri melibatkan CEO, ketua pegawai operasi, pegawai eksekutif, pengarah dan pemilik syarikat sama yang dipercayai terlibat melakukan rasuah membabitkan projek milik sebuah GLC dengan anggaran nilai kontrak keseluruhan melebihi RM2.3 bilion.
Kejadian tersebut dipercayai berlaku antara 2017 hingga 2021.
Susulan penahanan tersebut, beberapa sitaan dilakukan antaranya melibatkan 10 buah kenderaan mewah pelbagai jenama, pelbagai mata wang tunai melebihi RM27,000, lebih 50 barang kemas pelbagai jenis termasuk jongkong emas. – UTUSAN










