KULIM: Empat lelaki Malaysia yang terkandas di Myanmar sejak Januari lalu selepas mendakwa ditipu ejen pencari pekerjaan mendakwa mereka sering didera selepas dipaksa bekerja sebagai scammer operator.
Mereka didera menggunakan renjatan elektrik dan dipukul dengan kayu selain diarah berlari sambil mengangkat 18 ketul batu-bata sejauh lima meter secara ulang alik dari pukul 7 pagi sehingga 5 petang.
Hukuman tersebut dikenakan sekiranya mereka yang berusia 19 hingga 27 tahun itu gagal mencapai sasaran jumlah kutipan wang atau tidak mengikut arahan pihak pengurusan terbabit.
Bagaimana mereka dibenarkan pulang ke tanah air selepas membayar RM52,000 sebagai ganti rugi kepada ejen tersebut.
Seorang mangsa dari daerah ini yang mahu dikenali sebagai Joe, 27, berkata, pengalaman dikurung sindiket tersebut selama tiga bulan di Myanmar menjadi pengalaman dalam hidupnya.
Setiap hari, dia dipaksa bekerja siang dan malam mengikut jadual ditetapkan bermula pukul 12 tengah malam dan hanya dibenarkan berehat dua jam setiap sesi.
“Dalam tempoh seminggu saya dan rakan-rakan perlu mendapat sekurang-kurangnya seorang mangsa dan jika gagal mereka akan didera,” katanya pada sidang akhbar di pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kulim, Yeo Keng Chuan di sini hari ini.
Dia antara empat rakyat Malaysia yang dilepaskan oleh sindiket penipuan selepas membayar ganti rugi sebelum selamat pulang ke rumah masing-masing pada Selasa lalu.
Tiga lagi rakyat Malaysia terbabit tinggal di beberapa negeri lain.
Menurutnya, sepanjang tempoh tersebut, setiap pergerakan mereka juga dikawal ketat oleh pengawal bagi memastikan tidak meloloskan diri.
“Kami juga tidak tahu lokasi mereka bekerja kerana kedudukannya di dalam hutan serta terlindung daripada orang ramai.
“Malah terdapat beberapa lagi rakyat Malaysia dan warga negara asing yang turut bekerja dengan sindiket tersebut serta difahamkan mereka juga ingin pulang ke tanah air tetapi tidak mempunyai wang untuk membayar ganti rugi tersebut,” ujarnya.
Selain itu, tambahnya, pada peringkat awal, sindiket tersebut menawarkan gaji antara RM3,000 hingga RM5,000 sebulan namun selepas itu mereka hanya dibayar gaji sebanyak RM1,200 sehingga RM2,000 sahaja. – UTUSAN