pemborong pun mangsa

Pemborong juga mangsa ayam naik

PENETAPAN harga maksimum ayam RM8.90 sekilogram oleh kerajaan dilihat tidak menyelesaikan masalah, malah membebankan lagi peniaga dan pengguna. – UTUSAN/RASUL AZLI SAMAD
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MELAKA: Kerajaan digesa lebih proaktif mengawal kenaikan kos di peringkat ladang ternakan ayam selain menyegerakan pembayaran tuntutan subsidi.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, seorang pemborong, Ke Jok Kwee berkata, mereka turut menjadi mangsa keadaan selepas terpaksa berdepan kenaikan harga ayam, susulan kenaikan kos dedak yang meningkat sehingga 300 peratus.

Katanya, meskipun kerajaan memberi subsidi sebanyak 60 sen kepada penternak, jumlah itu tidak mencukupi dan gagal menampung kenaikan kos makanan yang tinggi disebabkan penularan Covid-19 serta kesan peperangan Ukraine dan Rusia.

“Kerajaan memang memberi subsidi tetapi tidak cukup. Selain itu, tuntutan subsidi lambat dibayar kepada penternak. Berikutan ladang ternakan sukar menjana keuntungan, mereka menjual ayam kepada pemborong pada harga borong iaitu RM7.60 sekilogram.

“Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) beritahu mereka tidak boleh buat apa-apa kerana peladang ini memiliki lesen pemborong. Kami sebagai pemborong terpaksa jual kepada peruncit harga RM7.60 sekilogram juga. Mana ada untung.

“Kalau jual harga lebih daripada itu nanti pihak berwajib saman pula. Banyak kos yang kami kena tanggung seperti upah pekerja dan utiliti, sampai bila mahu sabar dengan keadaan seperti ini?” katanya ketika ditemui.

Terdahulu, akhbar ini me­laporkan, peniaga ayam di Pasar Besar Melaka di sini merayu kepada kerajaan agar caj pemotongan ayam tidak dipamerkan kepada pelanggan, sebaliknya kos itu diserap masuk dalam harga kawalan.

Langkah itu dilihat memudahkan proses jual beli kerana tidak perlu lagi memberi pe­nerangan kepada setiap pelanggan yang bertanya

Dalam pada itu, Jok Kwee menambah, kos pengangkutan terpaksa dikenakan selepas pihak peladang turut mengenakan caj tersebut kepada pemborong.

Katanya, alasan pihak ladang adalah mereka masih tidak mendapat untung yang dimahukan, justeru bertindak mengenakan kos pengangkutan.

“Selama saya berniaga 40 tahun, belum pernah lagi saya kenakan caj pengangkutan. Disebabkan masalah ini saya terpaksa pindahkan kos ini kepada peniaga runcit.

“Tetapi peniaga runcit tidak boleh pindahkan kos tersebut kepada pengguna. Harga ayam standard sudah dikawal. Sebab itu mereka kenakan caj untuk pemotongan ayam bagi mendapat sedikit keuntungan,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN