KOTA KINABALU: Kenaikan pemberian khas kepada Sabah akan membolehkan lebih banyak program pembangunan dapat dilaksanakan demi kepentingan rakyat di negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kadar kenaikan pemberian khas sebanyak 4.7 ganda daripada RM26.7 juta kepada RM125.6 juta itu merupakan khabar gembira untuk rakyat Sabah.
Namun, sistem penyampaian kadar kenaikan pemberian khas ini perlu dibuat secara sistematik dan berkesan bagi memastikan dana yang disediakan dapat dimanfaatkan sepenuhnya untuk tujuan pembangunan.
Justeru, beliau menyarankan agar Sabah diberi kuasa autonomi untuk mengurus dana tersebut bagi tujuan mempercepatkan pembangunan di negeri ini.
“Serahkan terus dana khas kepada kerajaan negeri, biar kami mengurusnya untuk tujuan pembangunan kerana orang tempatan lebih tahu keperluan rakyat di sini.
“Kenaikan pemberian khas itu tidak akan bermakna sekiranya sistem penyampaian masih di takuk lama. Sebarang keputusan atau tindakan mengambil masa yang lama menyebabkan pembangunan yang dirancang terbantut,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menteri Kerja Raya Sabah merangkap Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, sekiranya sistem lama masih gunakan iaitu membiarkan kerajaan Pusat menguruskan dana khas tersebut secara berperingkat maka, hasrat memacu pembangunan di Sabah tidak akan berjalan lancar.
Malah, usaha mengeluarkan Sabah daripada senarai negeri termiskin tidak dapat dipercepatkan.
Mengulas lanjut katanya, secara umumnya beliau amat menyambut baik kenaikan pemberian khas kepada kerajaan negeri di bawah perkara 112D Perlembagaan Persekutuan.
Jelas Bung Moktar, langkah menyemak dan menaikkan kadar pemberian khas yang tidak pernah dilakukan sejak 53 tahun lalu itu amat dinantikan oleh rakyat Sabah.
“Sudah tentu kita menghargai dan berterima kasih kepada kerajaan Pusat kerana melalui kenaikan ini lebih banyak program pembangunan dapat dilaksanakan,” katanya. -UTUSAN