ISKANDAR PUTERI: Pemandu kenderaan jenis Toyota C-HR yang menjadi buruan polis setelah terlibat dalam satu kejadian langgar lari di sekitar bandar raya ini telah menyerah diri awal pagi ini.
Timbalan Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Superintenden Ibrahim Mat Som berkata, lelaki berusia 31 itu hadir ke Balai Polis Trafik Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Iskandar Puteri pada pukul 1.45 pagi.
Beliau berkata, suspek yang merupakan peniaga ikan itu ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu dan membahayakan.
“Setelah suspek hadir ke Balai Polis Trafik, dia telah ditahan untuk siasatan lanjut berhubung kes langgar lari itu. Suspek direman selama dua hari bermula hari ini bagi membantu siasatan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pada Rabu lalu, pihak polis mendapat maklumat mengenai kejadian berkenaan apabila dua rakaman video berdurasi 34 dan 23 saat yang tular di media sosial.
Rakaman video itu memaparkan dua kejadian berasingan langgar lari dua buah motosikal yang berlaku di Kilometer 16 Jalan Johor Bahru-Air Hitam dan di Persiaran Ledang, dekat sini, 11 April lalu.
Menerusi video tersebut, pemandu kenderaan telah dikenalpasti dan usaha mengesannya sedang giat dijalankan.
Video yang tular menunjukkan kenderaan jenis Toyota C-HR berkenaan merempuh sebuah motosikal selepas melakukan pusingan U sebelum meninggalkan lokasi kejadian.
Sementara itu, video kedua pula memaparkan rakaman menunjukkan nombor pendaftaran kenderaan tersebut. – UTUSAN