Pekerja pasar raya maut motosikal terbabas

Pekerja pasar raya maut motosikal terbabas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Seorang pekerja di sebuah pasar raya maut selepas motosikal ditunggang terbabas di Kilometer (KM) 445.6 Lebuhraya Utara-Selatan dari arah Country Homes menghala ke Sungai Buloh, dekat sini, hari ini.

Dalam kejadian 9 pagi itu, mangsa, Muhammad Naim Fikrie Kasviza, 20, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kemalangan itu pukul 9.22 pagi tadi.

Kata beliau, siasatan awal mendapati ketika kejadian mangsa menunggang Yamaha Y15 dari arah rumahnya di Country Homes menghala ke tempat kerjanya di Sungai Buloh.

“Sebaik sahaja tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum bergesel dengan besi penghadang sebelah kiri jalan dan terbabas.

“Kemalangan menyebabkan mangsa tercampak di lorong kecemasan jalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Tambah Zainal, kemalangan itu mengakibatkan mangsa cedera parah pada kepala dan disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan Hospital Sungai Buloh yang tiba di lokasi kejadian.

“Mayat dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.

“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi pegawai penyiasat kes, Inspektor Mohd Shaifuddin Mohd Nor di talian 0176645812 untuk tindakan lanjut,” jelasnya.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN