ASP ditukar

Pegawai ASP buat live operasi ditukar ke Johor mulai Mei

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Pegawai polis wanita berpangkat Asisten Superintenden (ASP) yang membuat video secara langsung di aplikasi TikToknya ketika serbuan di sebuah pusat hiburan ditukarkan Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor berkuat kuasa Mei ini.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Hussain berkata, pertukaran pegawai tersebut yang bertugas di Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman akan dilaksanakan hujung bulan.

“Pegawai tersebut ditukarkan ke IPK Johor dan perlu melaporkan diri pada hujung bulan Mei ini,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Difahamkan, pegawai tersebut merupakan ASP Operasi Urusetia, JSJN Bukit Aman ditukarkan ke Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) IPK Johor dengan menyandang tugas sebagai ASP Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) Universiti Teknologi Malaysia (UTM).

Isnin lalu, Pengarah JSJN, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memaklumkan, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pegawai dan anggota yang melanggar prosedur operasi standard (SOP) penggunaan media sosial.

Jelasnya, tindakan pegawai polis berkenaan menerusi akaun TikTok miliknya bersifat peribadi dan hanya bertujuan mempromosi akaun TikToknya.

Malah ujar beliau, tiga arahan sudah dikeluarkan mengenai tatacara penggunaan media sosial iaitu pada Mei 2014, Ogos 2020 dan Februari 2021.

Baru-baru ini, tular satu video berdurasi satu minit 38 saat yang memaparkan pegawai wanita berpakaian jaket seragam operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) berpangkat Asisten Superintenden membuat live di TikTok ketika serbuan dan pemeriksaan.

Susulan itu, Razarudin mengarahkan Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman menjalankan siasatan dalaman berhubung tindakan pegawai tersebut. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN