PasLeak: Polis panggil ahli politik terlibat - Utusan Malaysia

PasLeak: Polis panggil ahli politik terlibat

KERATAN laporan Utusan Malaysia pada 21 April lalu berhubung isu PasLeak.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Polis akan memanggil semua ahli politik yang namanya disebut di dalam satu minit mesyuarat dirujuk sebagai dokumen ‘PasLeak’ bagi membantu siasatan dalam masa terdekat.

Mengesahkan perkara itu, Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim, bagaimanapun tidak menjelaskan lebih lanjut bila tarikh dan masa ahli politik berkenaan akan diminta tampil untuk membantu siasatan.

Kata beliau, Polis Kontinjen Kuala Lumpur menerusi Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) akan memanggil semua ahli politik yang dinamakan dalam dokumen berkenaan bagi membantu siasatan.

“Setakat ini apa yang boleh saya nyatakan adalah, individu yang berkaitan untuk membantu siasatan ini akan dipanggil dalam masa terdekat untuk dirakam keterangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis pelancaran Op Selamat 18 sempena Hari Raya Aidilfitri 2022 di Menara TM, di sini hari ini.

Pada Jumaat lalu, Naib Presiden Pas, Senator Datuk Idris Ahmad menyifatkan penyebaran dokumen yang didakwa sebagai minit mesyuarat Pas adalah cubaan meretakkan hubungan antara parti-parti Melayu.

Beliau dilaporkan berkata, ia satu tindakan tidak bertanggungjawab.

Idris memaklumkan tindakan menyebarkan tangkap layar dokumen berkenaan juga dilihat bagi meraih perhatian rakyat.

Pada hari sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob enggan mengulas lanjut mengenai kebocoran dokumen minit mesyuarat yang didakwa milik Pas.

Dokumen empat muka surat yang tular Rabu lalu tidak dapat dipastikan kesahihannya.

Sebelum ini, empat keping tangkap layar mengenai percaturan politik Pas antaranya menyentuh mengenai campur tangan dalam urusan mahkamah, menjadi tular di media sosial.

Dokumen diklasifikasikan sebagai sulit itu dipercayai minit mesyuarat Pas yang diwakili oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dengan beberapa pemimpin kanan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Pengerusi Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) Tun Dr. Mahathir Mohamad dan pemimpin UMNO, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN