KUALA TERENGGANU: Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar bersedia memberi keterangan kepada pihak polis berhubung dokumen minit mesyuarat tular, ‘PasLeak’.
Beliau bagaimanapun berkata, setakat ini, belum menerima apa-apa panggilan daripada pihak berkuasa berhubung siasatan kes itu.
“Sudah tentu sebagai warganegara yang patuh kepada peraturan, saya atau sesiapa sahaja yang dipanggil pihak berkuasa akan akur.
“Tetapi, saya tidak terima apa-apa panggilan lagi,” katanya ketika ditanya pemberita selepas majlis sambutan Hari Wanita Peringkat negeri 2022 di Wisma Darul Iman di sini hari ini.
Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, semua ahli politik yang disebutkan namanya dalam dokumen ‘PasLeak’ akan dipanggil bagi membantu siasatan kes.
Namun, beliau tidak menjelaskan lebih lanjut bila tarikh dan masa ahli politik berkenaan akan diminta tampil untuk membantu siasatan.
Khamis lalu, peguam kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi membuat laporan polis berhubung dokumen PasLeak yang didakwa mengandungi campur tangan dalam proses kehakiman negara.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri berkata, tiada keperluan untuk Pas mengikut jejak langkah UMNO dengan membuat laporan polis berhubung dokumen sampah itu.
Beliau sekali gus hairan kerana masih ada segelintir yang mempercayai kesahihan dokumen berkenaan termasuk mendesak Pas mengulangi penafian di samping membuat laporan polis.
“Kalau ada yang sudah membuat laporan polis, terpulang kepada mereka kerana semua pihak berhak berbuat demikian dan terserah kepada polis untuk menjalankan siasatan jika perlu.
“Mungkin masih ada yang tidak faham bahasa apabila saya katakan dokumen itu sampah, jadi tiada keperluan untuk laporan polis atau sumpah,” katanya. –UTUSAN ONLINE