GEORGETOWN: Penduduk Pulau Pinang dinasihatkan menggunakan air dengan berhemat pada bulan ini dan bulan depan memandangkan kapasiti Empangan Air Itam berada pada paras rendah iaitu hanya 38.5 peratus setakat Khamis lalu.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. Jaseni Maidinsa berkata, sejak 1 Januari tahun ini, kapasiti efektif Empangan Air Itam telah menyusut sebanyak 50.8 peratus kepada tahap amaran iaitu 38.5 peratus.

Situasi itu jelas beliau, berpunca kerana hujan rendah di kawasan tadahan air (KTA) empangan terbabit.
“Dalam tempoh 1 Januari hingga 31 Mac lalu, PBAPP merekodkan taburan hujan yang luar biasa rendah iaitu sebanyak 250 milimeter (mm) di KTA Empangan Air Itam,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Menurutnya, sebagai perbandingan, jumlah hujan yang direkodkan di KTA Empangan Teluk Bahang ialah 366 mm manakala hujan di KTA Empangan Mengkuang berjumlah 1,128 mm.
“Selain itu, punca lain adalah kerana permintaan air harian yang tinggi di kawasan perbandaran Air Itam dan kawasan sekitarnya.
“PBAPP juga telah merekodkan penggunaan air yang tinggi secara konsisten di Pulau Pinang sejak tiga bulan lalu sambil berusaha melaksanakan kawalan cuaca kering untuk mempertahan kapasiti efektif empangan Pulau Pinang,” katanya.
Tambahnya, pada Khamis lalu juga penggunaan air bermeter adalah hampir 900 juta liter sehari (JLH) berbanding purata 860 JLH pada tahun lalu.
“Air terawat yang dipam dari Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua di Seberang Perai ke Kolam Air Bukit Dumbar di bahagian pulau setiap hari (melalui tiga set saluran paip dasar laut berkembar) digunakan dengan pantas.
“Permintaan air di kawasan selatan bahagian Pulau juga agak tinggi dengan ketara,” katanya.
Tambah beliau, paras air terawat di kolam air Bukit Dumbar adalah rendah dan disebabkan itu, PBAPP tidak boleh mengepam air pada tekanan yang mencukupi ke semua kawasan hujung paip agihan (HPA) dan kawasan tanah lebih tinggi kerana pam air akan terhenti secara automatik dan mungkin rosak.
“Buat masa ini, pengguna air dinasihatkan menggunakan air dengan berhemat sehingga musim antara monsun pada bulan April dan Mei membawa hujan ke KTA empangan.
“Elakkan menggunakan hos secara tidak perlu untuk mencuci kenderaan, menyiram tanaman atau membersihkan rumah,” katanya.- UTUSAN










