BAGAN SERAI: Belia di Kampung Bukit Merah dekat sini membentuk tulisan #JusticeForBella dalam pesta panjut Bagan Serai tahun ini sebagai tanda simpati terhadap remaja sindrom down dikenali sebagai Bella yang disyaki didera.
Jurucakap kumpulan belia kampung itu, Azizul Hafiz Mohd. Nordin, 35, berkata, mereka mencipta kelainan dalam pesta panjut kali ini kerana amat simpati terhadap kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) itu.
“Sebagai menzahirkan rasa simpati penduduk kampung terhadap kes adik Bella, kami sepakat mencipta sedikit kelainan dalam pesta panjut tahun ini. Ini dilakukan dengan menggubah botol sabun terpakai yang ditebuk menjadi tulisan #JusticeForBell atau keadilan buat Bella.
“Di dalam botol itu kami letakkan pelita yang diperbuat daripada botol terpakai, jadi apabila ia dinyalakan, cahaya yang keluar dari botol itu jelas menampakkan tulisan tersebut.” katanya kepada pemberita di Tasik Bukit Merah di sini semalam.
Menurutnya, selain itu, penduduk juga membuat panjut dengan tema rumah rakit dan kereta api menggunakan bahan terpakai dan tumbuh-tumbuhan seperti botol sos, tin minuman, tong air, buluh, bertam dan sebagainya.
“Semua persiapan ini kami buat selama dua minggu secara bergotong-royong dengan menggunakan lebih 1,300 pelita yang dibuat dari buluh, botol dan tin minuman terpakai bagi menampakkan imej rumah rakit, kereta api dan tulisan #JusticeForBella.
“Kami juga menyelitkan peralatan menangkap ikan tradisional manakala basikal-basikal lama turut dihiasi pelita panjut bagi menyerikan lagi suasana,” katanya.
Sebanyak 16 buah kampung mengambil bahagian dalam pertandingan pesta panjut anjuran Pemuda UMNO Bagan Serai pada tahun ini yang menawarkan hadiah tempat pertama RM7,000, kedua RM4,000, ketiga RM2,500 dan keempat RM1,000.
Antara kampung yang menyertai pertanding itu terdiri dari Kampung Ladang Chersonese, Jalan Gula, Sungai Perotan, PPMS Batu 6, RTC Bukit Merah, Padang Lalang, Kampung Selamat, Taman Semanggol Permai, Parit 7 Kubu Gajah, Kampung Alor Kubu, Parit Haji Ismail, Kampung Depan Balai, Taman Serai Jati, Kampung Sungai Dungun, Parit Jawa Sungai Bogak, Batu 3 Parit Jawa dan Kampung Nibong Hangus. – UTUSAN










