Pakai taktik lapuk, tetapi masih ramai terpedaya

[ANALISIS] Pakai taktik lapuk, tetapi masih ramai terpedaya

KERATAN laporan muka depan Utusan Malaysia semalam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMARAN membekukan akaun kerana terlibat jenayah antara taktik lapuk scammer untuk memperdaya mangsa mereka. Ia bukan perkara baharu, sudah banyak kali digunakan dalam modus operandi (MO) sindiket penipuan yang tidak berhati perut itu.

Walaupun seringkali didedahkan pihak berkuasa tentang MO itu, tetap ada individu termasuk golongan profesional menjadi mangsa. Terbaharu pendeposit LembagaTabung Haji (Tabung Haji) menjadi sasaran sindiket berkenaan.

Keadaan itu dapat dilihat apabila Utusan Malaysia semalam melaporkan, sebanyak 65 pendeposit Tabung Haji menjadi mangsa penipuan sejak Januari lalu yang melibatkan kerugian RM3.6 juta.

Pendeposit terlibat menjadi sasaran kerana akaun Tabung Haji mereka boleh disambung dengan akaun perbankan yang lain, lebih malang wang dalam akaun simpanan juga lesap dicuri sindiket itu.

Yang menjadi sasaran dan mangsa penipuan lazimnya warga emas dan mereka yang cepat berasa panik apabila dihubungi `pihak berkuasa’, kononnya sedang menyiasat aduan membabitkan kes jenayah.

Kehilangan wang dalam akaun pendeposit Tabung Haji yang dihubungkan dengan akaun bank-bank konvensional bukanlah memerlukan ahli sindiket itu memiliki kepakaran teknologi tinggi, sebaliknya penjenayah hanya perlu ada keyakinan dengan MO yang disampaikan kepada mangsa.

Hanya mangsa yang terpedaya dan panik sahaja boleh menyerahkan maklumat peribadi mereka sekali gus memudahkan scammer mengambil wang simpanan di dalam akaun.

Justeru, orang ramai dinasihat tidak mendedahkan sebarang maklumat akaun mahupun peribadi dalam apa keadaan sekalipun kepada pihak tidak dikenali.

Tabung Haji sebelum ini menegaskan agensi itu tidak pernah menghubungi mana-mana pendeposit bagi sebarang tujuan transaksi pemindahan wang.

Pengeluaran tunai hanya boleh dilakukan di kaunter TH melalui pengesahan identiti; pengeluaran melalui perbankan internet pula dikawal dengan kata laluan dan Kod Pengesahan Transaksi (TAC) manakala pengeluaran melalui ATM bank-bank rakan strategik TH dikawal dengan pin.

Pengajarannya, usah terlalu mudah terpedaya jika tidak mahu berputih mata. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN