MERSING: Operasi mencari dan menyelamat (SAR) empat penyelam warga asing yang hilang ketika melakukan aktiviti menyelam di Pulau Tokong Sanggol, di sini tengah hari semalam bersambung pukul 8 pagi tadi.
Penyelam yang hilang merupakan seorang lelaki warga Britain, Adrian Peter, 46, dan remaja warga Belanda, Nathan Renze, 14.
Dua lagi penyelam merupakan seorang wanita Perancis, Alexia Alexandra, 18, dan wanita Norway, Kristine Grodem, 35.
Difahamkan kesemua mereka mempunyai lesen menyelam, sementara Kristine merupakan Dive Master.
Laporan awal mendapati, keempat-empat penyelam tidak timbul selepas melakukan latihan selam kira-kira pukul 12 tengah hari, semalam.
Op Carilamat digerakkan kira-kira pukul 2.35 petang melibatkan aset Polis Diraja Malaysia, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia, Gerup Gerak Khas, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Perikanan.
Seramai 61 anggota dan 12 pegawai pelbagai agensi terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat tersebut. – UTUSAN