Onn Hafiz ajak rakyat beri input impian mereka buat Johor

Onn Hafiz ajak rakyat beri input impian mereka buat Johor

ONN Hafiz Ghazi (tengah) ketika mengadakan pertemuan dengan beberapa pihak di Bangunan Dato’ Jaafar Muhammad di Kota Iskandar, Johor.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan negeri akan merangka pelan perancangan strategik bagi memastikan pembangunan Johor dapat dilaksanakan secara menyeluruh dan bersepadu.

Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, perancangan strategik itu perlu meliputi pelan jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Beliau turut mengajak rakyat Johor untuk sama-sama menyumbang pandangan berhubung impian mereka.

“Apakah yang anda impikan untuk Johor. Saya sangat mengalu-alukan pandangan anda. Bagi saya, satu perancangan strategik jangka masa pendek, sederhana dan panjang perlu diperhalusi dan dilaksanakan bagi memastikan pembangunan, kebolehsaingan, kesejahteraan serta kemakmuran bangsa Johor. 

“Sebagai permulaan, saya mengadakan perbincangan dengan Bahagian Perancangan Ekonomi Johor (BPEN), Pengurusan Johor Corporation (JCorp) dan PricewaterhouseCoopers (PwC),” katanya menerusi laman Facebook miliknya, hari ini.

Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Machap itu, semua pihak khususnya pemain-pemain utama pelbagai sektor perlu bekerjasama bagi memastikan perancangan yang dibuat dapat dilaksanakan.

“Pihak kerajaan, GLC (syarikat milik kerajaan) dan sektor awam perlu bekerjasama dan berganding bahu untuk memastikan apa yang dirancang dapat direalisasikan. Sama-sama kita doakan agar Allah SWT mempermudah segala urusan kita. Insya-Allah,” ujarnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN