ALOR SETAR: Pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Nur Nabilah Mohd. Azahar yang putus kaki kanan akibat terkena kipas bot ketika menjalani latihan menyelam di Dive Division Curacoa, Caribbean pada tahun lalu dibawa pulang ke negara ini, kelmarin.
Nur Nabilah, 25, yang merupakan penuntut tahun akhir Sarjana Muda Pengurusan Pelancongan tiba di Lapangan terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), Sepang, Selangor pada pukul 8 malam.
Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Haim Hilman Abdullah berkata, pelajar tersebut dibawa pulang untuk meneruskan rawatan susulan di Hospital Universiti Kebangsaan Malaysia (HUKM) selepas ini.
“Kami rasa amat bersyukur kerana pelajar ini akhirnya dapat kembali ke tanah air untuk mendapatkan rawatan susulan. Nur Nabilah akan meneruskan rawatan di HUKM dan saya berharap dia bersama keluarganya tabah serta kuat semangat untuk meneruskan rawatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Ketibaan Nur Nabilah di KLIA disambut oleh Dr. Haim Hilman; bapanya, Mohd. Azahar Zakaria, 58, dan ibu, Nor Manira Khalib, 57, serta pegawai kanan Wisma Putra.
Sebelum ini akhbar melaporkan, Nur Nabilah putus kaki kanan dipercayai akibat terkena kipas bot ketika menjalani latihan menyelam di Dive Division Curacoa, Caribbean pada 28 Disember lalu.
Susulan itu UUM memberi jaminan untuk menanggung pembiayaan kos rawatan pelajar tersebut, yang ketika itu sedang menjalani latihan industri selama empat bulan bermula 13 September hingga 13 Januari 2022.
Sementara itu, Nor Manira berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat bagi membantu membawa pulang anak bongsunya itu.
“Alhamdulillah, kami berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat membawa pulang Nur Nabilah. Saya merasa amat bersyukur kerana dapat melihat anak kembali dengan selamat. Terima kasih kepada semua pihak termasuk warga UUM yang sentiasa berhubung dengan kami untuk mengetahui perkembangan Nur Nabilah hingga kini,” jelasnya.
Dalam pada itu rakan baik Nur Nabilah, Aiman Qistina Balqis Azman pula berkata, dia cukup gembira kerana akhirnya dapat kembali bertemu dengan sahabatnya itu untuk melepaskan kerinduan.
“Saya berharap dia akan segera sembuh serta segala urusannya selepas ini, dapat berjalan lancar,” katanya. – UTUSAN