PASIR PUTEH: Ketuhar dihadiahkan guru dimanfaatkan seorang bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Aman untuk menjana pendapatan di bulan Ramadan dengan cara memasak nasi arab Damsyik.
Mohd. Ariffin Nordin, 27, kini tidak menang tangan menyiapkan tempahan juadah itu di ruang dapur rumah keluarganya di Kampung Seri Aman, di sini yang terletak kira-kira 900 meter dari sekolah itu.
Berkongsi cerita kepada Utusan Malaysia, usahawan muda itu berkata, selain ketuhar ‘istimewa’ hadiah gurunya, pengalaman singkat bekerja di restoran nasi Arab Damsyik di Negeri Sembilan menjadi bekalan untuk dia menceburi perniagaan makanan.
Menurutnya, sepanjang menjadi pembantu tukang masak, dia banyak mempelajari pelbagai resepi masakan Timur Tengah yang semakin digemari rakyat negara ini, khususnya mereka yang pernah berkelana di negara Arab.
“Saya mula berjinak-jinak dalam dunia masakan sejak tiga tahun lalu dan berhasrat membuka restoran makanan Arab Damsyik di sekitar bandar Pasir Puteh sekiranya ada bantuan modal.
“Sebelum ini saya cuba menjalankan perniagaan gerai minuman di jalan utama Pasir Puteh-Kota Bharu namun terpaksa tutup kedai kerana tiada sambutan,” kata bekas penuntut tahun akhir Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) itu di sini hari ini.
Gagal menamatkan jurusan Pengajian Strategi dan Hubungan Antarabangsa atas sebab tertentu yang tidak dapat dielakkan, Mohd. Ariffin berkata, dia tetap bersyukur dengan rezeki dalam perniagaan diaturkan Allah kepadanya.
Anak bongsu daripada tujuh beradik itu berkata, nasi Arab Damsyik air tangannya semakin laris sehingga dia terpaksa menyusun jadual giliran pembeli dan hanya menerima 10 tempahan berharga RM10 hingga RM280 sedulang sehari bagi menjaga kualiti.
“Ketika ini saya sudah ada lebih kurang 300 pelanggan tetap bukan sahaja dari Pasir Puteh dan Bachok tetapi daerah lain seperti Kota Bharu, Pasir Mas dan juga Besut, Terengganu.
“Setiap hari, saya akan memasak bermula pukul 11 pagi dan mula membungkus dulang nasi pada pukul 4 petang. Penghantaran tempahan kepada pelanggan pula bermula pukul 5 petang,” katanya. – UTUSAN










