KUANTAN: Yayasan Pengguna Negara Malaysia (YPNM) memperoleh maklumat tentang kegiatan individu menaiki motosikal ‘kapcai’ membeli minyak masak peket bersubsidi satu kilogram di kedai-kedai runcit dan pasar raya.
Sehari hanya dengan menaiki ‘kapcai’, mereka boleh mengumpul 100 peket minyak masak yang dibeli dengan harga RM2.50 dan menjual kepada ‘mafia’ dengan harga RM4.50 sepeket.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Presiden YPNM, Datuk Mohd. Firdaus Abdullah mendakwa, modal dikeluarkan hanya RM250 dan memperoleh keuntungan RM200 sehari.
“Dengan untung lumayan, ramai yang sanggup melakukannya dan kegiatan ini didapati berlaku di seluruh negara.
“Jika 1,000 orang yang melakukan kegiatan ini, berapa banyak minyak peket diseleweng sehari. Kumpulan ini yang menjadi salah satu puncanya bekalan minyak masak peket berkurangan,” katanya di sini semalam.
Walaupun Malaysia merupakan pengeluar utama minyak sawit, tetapi bekalan minyak masak peket satu kilogram bersubsidi masih sukar diperoleh sehingga kini dan ia berlarutan sejak sekian lama.
Keluhan demi keluhan dilakukan termasuk di media tempatan, namun, isu berkenaan masih terus berlarutan seolah-olah tiada tindakan diambil oleh pihak berwajib.
Mengulas lanjut, Mohd. Firdaus mendakwa, isu kekurangan minyak masak peket bersubsidi tidak akan selesai jika ‘tangan ghaib’ yang melindungi kegiatan ‘mafia’ yang menyeleweng bekalan itu demi keuntungan berlipat kali ganda tidak dihapuskan segera oleh kerajaan.
Dakwanya, kumpulan ‘mafia’ minyak masak itu terus bermaharajalela dan menggunakan pelbagai modus operandi bagi mendapatkan stok minyak peket sekali gus menjadikan bekalannya berkurangan di pasaran negara.
“Difahamkan, kumpulan ‘mafia’ ini mampu mengaut keuntungan besar dan cukup lumayan yang mencecah ratusan juta bilion ringgit menerusi penjualan minyak masak yang dikumpul di pasaran gelap dan antarabangsa.
“Mereka (mafia minyak masak) disokong oleh peniaga, pembekal dan pihak pembungkus yang turut bersama-sama menyeleweng minyak masak peket bersubsidi demi memperoleh keuntungan cukup lumayan yang mencecah 150 hingga 200 peratus,” dakwanya.
Mohd. Firdaus berkata, seperti mana difahamkan, setiap bulan minyak sawit peket satu kilogram adalah cukup untuk kegunaan rakyat di negara ini.
“Tapi, boleh dikatakan setiap bulan minyak masak peket bersubsidi satu kilogram ini tidak mencukupi, ke mana perginya minyak peket ini yang menjadi persoalan,” soalnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, YPNM meminta Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menubuhkan jawatankuasa khas untuk mengkaji selidik dan menyiasat ketirisan minyak masak peket yang merugikan ekonomi negara melebihi RM1 bilion setahun. – UTUSAN










