daftar masuk

MySejahtera: Mansuhkan fungsi daftar masuk

Terdapat cadangan agar fungsi daftar masuk dalam MySejahtera dihapuskan kerana sudah tidak lagi memenuhi fungsi utama dalam menjejak kontak-kontak rapat Covid-19.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Di sebalik desakan pelbagai pihak untuk menyahktifkan aplikasi kontroversi MySejahtera susulan kebimbangan kebocoran data kira-kira 38 juta pengguna, sebahagian fungsi di dalam aplikasi itu seperti daftar masuk premis boleh dimansuhkan bagi mengelak data peribadi pengguna jatuh ke pihak tidak bertanggungjawab.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Setiausaha Kehormat, Akademi Perubatan Pekerjaan dan Persekitaran Malaysia, Prof. Madya Dr. Marzuki Isahak berkata, ini kerana fungsi daftar masuk MySejahtera ke premis-premis sudah tidak lagi memenuhi fungsi utama dalam menjejak kontak-kontak rapat Covid-19.

Beliau memberi contoh, seseorang pengguna tidak lagi diklasifikasi sebagai kontak rapat jika mendaftar masuk di sesuatu premis yang ada pengguna lain yang disahkan positif Covid-19.

Malah, data di dalam MySejahtera ‘terlalu sibuk dan penuh’ akibat terlalu ramai mendaftar masuk beberapa kali pada satu-satu masa di merata tempat.

Kata Marzuki, pengekalan fungsi daftar masuk MySejahtera dibimbangi mengundang pengguna menjadi sasaran pihak tertentu atau pemegang taruh perniagaan dengan memahami pergerakan serta kecenderungan mereka sekiranya memasuki sesuatu premis.

“Maklumat ini sangat berharga untuk sektor perniagaan mencari sasaran pelanggan mereka, apabila kecenderungan mereka mudah diketahui seperti selalu ke kedai pakaian atau pawagam, selepas itu, mereka senang dihubungi pada bila-bila masa.

“Namun, kegunaan lain aplikasi ini masih lagi relevan dan penting untuk dikekalkan se­perti sijil vaksinasi, maklumat janji temu. Jadi jangan nyahaktifkan terus, cuma mansuhkan sahaja keperluan daftar masuk ini,” katanya.

Terdahulu, dokumen mah­kamah mendedahkan Entomo Malaysia, sebelum ini dinamakan KPISoft Sdn. Bhd. bersetuju memindahkan harta intelek dan lesen perisian MySejahtera kepada MySJ Sdn. Bhd. menerusi perjanjian dilaporkan berjumlah RM338.6 juta yang akan terpakai sehingga akhir 2025.

Ia mencetus kebimbangan awam mengenai penjualan aplikasi itu kepada syarikat swasta yang menurut sesetengah pihak akan membawa kepada penca­bulan maklumat peribadi dan ancaman keselamatan negara.

Pada 12 April lalu, akhbar ini melaporkan, memetik sumber polis Bukit Aman bahawa, data peribadi kira-kira 38 juta pengguna MySejahtera seperti nombor telefon, nombor kad pengenalan dan alamat tempat tinggal berisiko dimanipulasi sindiket jenayah antarabangsa untuk kegiatan pemalsuan dokumen dan pelbagai penipuan lain.

Isnin lalu, Pengarang Kumpulan Media Mulia Sdn. Bhd., Mohamad Azlan Jaafar dalam kolum Minda Pengarang berpendapat, sudah tiba masanya aplikasi MySejahtera dibuang ke dalam trash bin dan dipadam selama-lamanya serta tidak perlu lagi menggunakannya setiap kali keluar rumah.

Menurut Azlan, yang menjadikan MySejahtera berharga adalah kerana datanya dan tiada pihak lain yang mempunyai maklumat sebanyak itu kecuali Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) selain setiap pergerakan pengguna diketahui kerana  perlu mendaftar masuk di semua lokasi.

Sementara itu, Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr. Koh Kar Chai berkata, aplikasi itu boleh digunakan dengan lebih baik dalam sistem pengurusan kesihatan negara kerana MySejahtera telah digunakan semua orang di negara ini.

Beliau berkata, MySejahtera bukan semata-mata berfungsi untuk menjejak kontak-kontak rapat Covid-19, malah lebih daripada itu sekaligus menuntut kepada keperluan menggunakan dan mengekalkannya dalam keadaan pandemik masih berleluasa.

“Aplikasi ini boleh digunakan dengan lebih baik dalam pengurusan penjagaan kesihatan negara kerana ia digunakan oleh hampir setiap penduduk negara ini. Isunya adalah dengan privasi pengguna aplikasi dan sama ada boleh berlaku penyalahgunaan.

“Defisit keyakinan ini perlu diatasi terlebih dahulu sebelum idea itu (fungsi pelbagai MySejahtera) dapat diterima oleh orang ramai. Perlu ditunjukkan bahawa data dalam aplikasi ini selamat sebelum ia boleh digunakan dalam pengurusan penjagaan kesihatan di negara ini,” katanya ketika dihubungi.- UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN