keputusan UMNO

MoU: DAP tidak terikat sebarang keputusan UMNO

ANTHONY LOKE
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO untuk tidak meneruskan memorandum persefahaman (MoU) dengan Pakatan Harapan (PH) selepas 31 Julai ini adalah urusan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dengan partinya.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook menegaskan, MoU tersebut adalah persefahaman di antara PH dengan Kerajaan Persekutuan dan bukannya dengan pucuk pimpinan UMNO. 

Sehubungan itu, beliau menjelaskan, pihaknya tidak terikat dengan apa-apa keputusan MKT UMNO.

Menurut beliau, sebarang keputusan dan isu berkenaan MoU tersebut perlu dibincangkan secara rasmi di antara Perdana Menteri mewakili Kerajaan Persekutuan yang ditadbir oleh pelbagai parti dengan pimpinan tertinggi PH. 

“Bagi PH, isu yang paling penting ialah pelaksanaan semua komitmen kerajaan yang termaktub dalam MoU terutamanya penggubalan Akta Anti Lompat Parti sebelum Parlimen dibubarkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Media baru-baru ini melaporkan, UMNO telah memutuskan MoU yang dimeterai antara kerajaan dan PH yang akan berakhir 31 Julai ini untuk tidak diteruskan.

Keputusan itu dibuat dalam mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. 

Mengulas lanjut, Anthony yang juga Ahli Parlimen Seremban menambah, terdapat juga percanggahan pendapat dalam kalangan parti-parti dalam blok kerajaan berkenaan garis masa MoU tersebut seperti yang dilaporkan oleh pihak media.

Beliau memberitahu, pada pemukiman DAP Pusat baru-baru ini, pucuk pimpinan parti telah mengarahkan supaya seluruh jentera pilihan raya DAP mesti bersiap siaga sepenuhnya menjelang Ogos ini.

“Dalam apa keadaan sekali pun, saya yakin bahawa DAP dan PH bersiap sedia menghadapi sebarang kemungkinan termasuk pembubaran Parlimen pada awal Ogos ini,” katanya. –UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN