MOSTI lancar bagang penangkapan bilis terapung biokomposit - Utusan Malaysia

MOSTI lancar bagang penangkapan bilis terapung biokomposit

DR. Adham Baba (duduk tengah) bersama pelajar Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Bandar Tenggara pada program CSR dan Ihya Ramadan di Kota Tinggi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA TINGGI: Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) menerusi Agensi Nuklear Malaysia akan melancarkan bagang penangkapan bilis terapung biokomposit di Kota Belud, Sabah pada Mei ini.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, projek berkenaan adalah hasil daripada projek Malaysia Social Innovation yang dijalankan Agensi Nuklear Malaysia dan Yayasan Inovasi Malaysia.

Katanya, projek itu akan memberi peluang pendapatan baharu kepada veteran Tentera Laut  Diraja Malaysia (TLDM) Sabah yang melibatkan seramai lebih 100 orang.

“Projek ini merupakan permulaan kepada pembangunan struktur terapung lestari di kawasan tersebut untuk dimajukan kepada penternakan akuakultur marin dan juga sektor pelancongan akua atau aquatourism.

“Limpahan pembangunan ini akan membuka manfaat kepada kebanyakan rakyat di Sabah dan juga model pembangunan ekonomi sama boleh dibuat di Semenanjung terutamanya di Johor,” katanya pada Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) dan Ihya Ramadan bersama Pusat Pemulihan Dalam Komuniti (PDK) Bandar Tenggara, di sini.

Dr. Adham yang juga Ahli Parlimen Tenggara berkata, Agensi Nuklear Malaysia telah menghasilkan radio isotop Samarium 153 bersama kit EDTMP untuk rawatan paliatif pesakit kanser yang berupaya membantu melegakan kesakitan tulang bagi pesakit yang menghidap penyakit kanser tahap kronik.

Jelasnya, antara kelebihan Samarium 153 adalah memberi penambahbaikan ketara skor kesakitan kepada pesakit selain akan mengurangkan kebergantungan kepada penggunaan analgesik narkotik dan lebih penting ia selamat digunakan.

“Agensi Nuklear Malaysia memainkan peranan besar dan memberi dimensi baharu kepada landskap perubatan negara kerana dapat menjimatkan kos di mana ubat yang diperlukan tidak perlu lagi diimport dari luar negara.

“Mereka turut menjalankan penyelidikan bagi menghasilkan beberapa produk biokomposit iaitu bahan baru berasaskan serat semula jadi yang diadun bersama-sama bahan plastik tersinar dan digabungkan dengan partikel nano.

“Bahan komposit ini telah dipertingkatkan sifat seperti kekuatan dan ketegaran, ketahanan air, sifat mekanik, sifat terma serta sifat fizikal. Bahan ini juga mudah diproses dan dibentuk menjadi produk yang diperlukan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr. Adham turut memaklumkan MOSTI menerusi Lembaga Pelesenan Tenaga Atom (AELB) sedang giat menjalankan Pembangunan Pusat Kemudahan Latihan Simulasi Pasukan Tindak Balas Nuklear.

Katanya, projek itu merupakan salah satu usaha untuk menjadikan AELB sebagai sebuah pusat latihan fizikal bagi meningkatkan dan mengekalkan keupayaan pasukan terhadap tindak balas nuklear dalam menangani kejadian radiologi dan nuklear.

Tambahnya, untuk rakyat Johor, AELB mempunyai pusat yang beroperasi di Pejabat Cawangan Kulai di mana agensi ini sentiasa bersedia untuk memberikan perkhidmatan kepada rakyat terutama dalam penyampaian perkhidmatan pelesenan dan penguatkuasaan tenaga atom yang lebih cekap dan berkesan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya