SEREMBAN: Sebanyak 593 notis perintah mahkamah berjumlah RM163,600 kerana melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 dikeluarkan di negeri ini dalam tempoh empat bulan pertama tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesihatan, Alam Sekitar, Koperasi Dan Kepenggunaan negeri, S. Veerapan berkata, kesemua notis tersebut dikeluarkan dari 1 Januari sehingga 2 April lalu hasil sejumlah 131 operasi bersepadu yang dilaksanakan di peringkat negeri dan daerah melibatkan 2,515 premis.
“Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan dan kerajaan negeri sentiasa peka terhadap setiap aduan berkaitan kejadian merokok di premis makan, kawasan pasar raya dan mana-mana tempat larangan merokok. Setiap aduan yang diterima disiasat dan diambil tindakan penguatkuasaan. Operasi PPKHT 2004 sentiasa dijalankan secara berkala di peringkat daerah dan negeri.
“Pihak berkuasa di Negeri Sembilan sentiasa mengambil langkah-langkah drastik bagi menangani isu merokok terutama di kawasan larangan merokok. Pada masa sekarang pihak kesihatan telah menjalankan operasi setiap hari khususnya di premis makanan dan lain-lain premis larangan merokok.
“Tindakan mahkamah diambil terhadap orang kena notis yang tidak memilih untuk membayar kompaun dan jika mana-mana orang yang disabitkan kesalahan di boleh didenda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya dalam sesi pertanyaan dan jawapan lisan hari pertama Persidangan Pertama (Perasmian) Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan Yang Ke-14 di sini hari ini.
Veerapan (PH-Repah) menjawab soalan Mary Josephine Prittam Singh (PH-Rahang) yang ingin mengetahui tindakan yang diambil pihak berkuasa berkaitan kejadian merokok di dalam kawasan medan selera yang merupakan kawasan larangan merokok.
Beliau menambah, sepanjang tahun lepas, sejumlah 346 operasi bersepadu di peringkat negeri dan daerah telah dilaksanakan yang melibatkan sebanyak 7,957 premis.
“Hasil keseluruhan operasi ini sebanyak 457 Notis Memerintahkan Kehadiran Ke Mahkamah (Seksyen 32B) yang boleh dikompaun bernilai RM 137,950 telah dikeluarkan di atas pelbagai kesalahan yang melanggar PPKHT 2004. – UTUSAN