merit bukan penentu

Merit bukan penentu dipilih dalam DAP

Hanya Young Syefura Othman, wakil tunggal Melayu dipilih daripada 30 Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP sesi 2022-2025 di IDCC Shah Alam, Selangor pada 20 Mac lalu. – UTUSAN/ZULFADHLI ZAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: Naib Pengerusi DAP Perak, Dr. Abdul Aziz Bari tidak bersetuju merit antara faktor yang menjadi asas dalam pemilihan Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP sesi 2022-2025 baru-baru ini.

Beliau turut mempersoalkan adakah kekalahannya dalam pemilihan tersebut kerana tiada merit atau semua yang dipilih dalam CEC itu mempunyai kua­liti dalam merit.

“Adakah semua yang tidak terpilih tidak ada kualiti dan adakah yang dipilih itu semua ada kualiti dan merit? Saya tidak dipilih sebab tidak ada merit? Kenapa Tony Pua yang orang lama pun kalah? Sebab tiada merit?

“Sebab itu sudah pasti ada faktor lain yang mempengaruhi keputusan pemilihan itu, bukan semata-mata merit,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Kelmarin, akhbar melaporkan Timbalan Setiausaha Agung DAP, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji berkata, jumlah keahlian Melayu dalam kepimpinan DAP tidak seharusnya dilihat sebagai satu isu, sebaliknya ia bergantung kepada daya saing masing-masing.

Kenyataan itu susulan gesaan bekas wakil rakyat DAP, Datuk Norhizam Hassan Baktee supaya DAP melantik sekurang-kurangnya enam ahli Melayu dalam CEC parti itu.

Mengulas lanjut perkara itu, Aziz Bari turut berkata, DAP sebuah parti yang dominannya adalah Cina, maka, ia bukan suatu isu yang harus diperbesarkan kerana setiap parti umum­nya mempunyai hala tuju ma­sing-masing.

“Sama seperti UMNO, power base dia adalah Melayu, begitu juga Pas, power base dia UMNO. Begitu juga dengan DAP, power base dia apa? Sebab parti itu dominannya adalah Cina, jadi setiap parti perlu perjuangkan untuk hala tuju parti masing-masing. Itulah namanya parti politik.

“Itu bukan isu yang harus dibesarkan dan bukanlah maknanya jumlah Melayu yang sedikit di dalam itu, bangsa tersebut akan dipinggirkan, tidak,” ujarnya lagi.

Dalam pada itu, bekas Naib Pengerusi Biro Buruh DAP, Amran Ahmad berkata, DAP tiada merit sejak dahulu lagi ketika arwah bapanya, Ahmad Nor memegang jawatan Naib Pengerusi DAP.

“Bapa saya dapat undian tertinggi dalam CEC DAP, tetapi Melayu ini paling tinggi pangkat yang diberi hanyalah Naib Pengerusi. Ketika itu, yang memegang jawatan Pengerusi dan Timbalan Pengerusi adalah mendiang Karpal Singh dan Lim Kit Siang. Itu yang kata DAP ada merit,” soalnya ketika dihubu­ngi, semalam.

Malah, beliau turut mempersoal mengapa Tengku Zulpuri diturunkan pangkat daripada Naib Pengerusi kepada Timbalan Setiausaha Agung DAP.

“Tanya Tengku Zulpuri, kenapa dia diturunkan pangkat? Sebab DAP dah mula fikir mereka tidak mampu menarik sokongan Melayu, jadi mereka memerlukan undi Cina yang solid sebagai kekuatan mereka. Tengku Zulpuri perlu berpijak bumi yang nyata,” ujarnya.

Dalam keputusan CEC DAP baru-baru ini, 10 daripada 93 calon yang bertanding bagi menduduki CEC DAP sesi 2022-2025 adalah Melayu.

Bagaimanapun, hanya seorang yang menang dengan berada pada tangga ketujuh daripada 30 anggota CEC yang dipilih menerusi undian oleh 4,149 perwakilan yang hadir secara fizikal. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN