PUTRAJAYA: Menteri Luar Negeri Kedua Brunei, Datuk Seri Setia Erywan Mohd. Yusof berada di Malaysia untuk melakukan lawatan kerja selama tiga hari bermula semalam.
Menurut kenyataan Wisma Putra di sini hari ini, beliau akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah bagi membincangkan mengenai isu sempadan.
“Lawatan ini susulan kerjasama dua hala yang dibincangkan ketika lawatan rasmi Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ke Brunei pada 14 hingga 15 Februari lalu,” katanya.
Bersempena dengan kedatangan beliau tersebut, Mesyuarat Pertama Jawatankuasa Bersama Malaysia- Brunei berkenaan Sempadan Darat bakal diadakan antara kedua-dua negara.
Ujar Wisma Putra, ia adalah mekanisme penting dalam hubungan istimewa dua negara dan mempamerkan komitmen berterusan ke arah memuktamadkan persempadanan darat.
Erywan juga dijadual mengadakan pertemuan dengan Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein sebelum beliau berlepas pulang.
“Brunei adalah rakan dagangan ke-30 terbesar Malaysia dan keenam di ASEAN pada tahun lalu dengan merekodkan jumlah perdagangan bernilai RM8.03 bilion,” katanya . – UTUSAN