KOTA BHARU: Seorang lelaki warga emas yang ditahan pihak berkuasa ketika sedang meminta sedekah di Pasar Siti Khadijah, di sini hari ini memberi alasan melakukannya semata-mata mahu membeli makanan untuk berbuka.
Sambil mendakwa dia baru sahaja dua hari terlibat dalam aktiviti itu, Che Muda Ismail, 77, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) berkata, dia juga mengemis kerana mahu mengumpul wang untuk membeli baju raya.
“Saya tinggal di rumah anak saudara di Pulai Chondong, Machang. Sejak dua hari lalu, saya curi-curi keluar pada sebelah pagi dengan menaiki teksi untuk mengemis di Kota Bharu dan pulang pada sebelah petang.
“Keluarga anak saudara tidak tahu saya jadi pengemis. Saya terpaksa buat kerja begini kerana tidak mahu menyusahkan mereka sekeluarga,” katanya ketika ditemui pemberita hari ini.
Che Muda antara 10 pengemis yang ditahan dalam Op Bersepadu Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bersama polis, Jabatan Imigresen dan Majlis Perbandaran Kota Bharu – Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) di sini.
Kata Che Muda, dia pernah kahwin dan cerai sebanyak sembilan kali namun tiada anak dan tiga tahun lalu, dia cacat akibat terbabit dalam kemalangan sebelum menerima pampasan sebanyak RM100,000.
Bagaimanapun dakwa lelaki itu, selepas duit pampasan tersebut habis dibelanjakan tahun lepas, isterinya yang kesembilan telah lari sehingga dia terpaksa menumpang di rumah anak saudara sehingga sekarang.
Sementara itu, Penolong Pengarah Kanan Bahagian Penguatkuasaan JKM Kelantan, Mohamad Md. Nor berkata, semakan mendapati Che Muda menerima bantuan bulanan sebanyak RM400 sejak tiga bulan lalu.
Kata Mohamad, berdasarkan rekod, hampir 80 peratus pengemis dan peminta sedekah yang pernah ditahan di negeri ini terdiri daripada mereka yang sudah menerima bantuan bulanan yang disalurkan JKM.
“Antara alasan digunakan mereka, untuk mencari wang lebih selain ada masalah kesihatan untuk bekerja,” katanya. –UTUSAN










