'Memang ada gerakan pecat saya dari UMNO' - Utusan Malaysia

‘Memang ada gerakan pecat saya dari UMNO’

TUN FAISAL ISMAIL AZIZ
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Bekas Timbalan Ketua Bahagian UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Tun Faisal Ismail Aziz mengulangi dakwaan bahawa ada gerakan untuk memecatnya daripada parti.

Beliau mendakwa, Ketua Bahagian UMNO Putrajaya, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sendiri sudah mengetahui keputusan Jawatankuasa Rayuan Lembaga Disiplin dan mahu beliau dipecat.

“Siapa yang panik sebenarnya? Saya atau Ku Nan (Tengku Adnan)? Saya tak tahu pun lagi apa keputusan Jawatankuasa Rayuan Lembaga Disiplin.

“Yang tahu mengenai keputusan ini adalah Ku Nan. Yang memaklumkan jawatan kuasa bahagian dan membincangkan hal keputusan jawatan kuasa sebagai salah satu topik dalam mesyuarat bahagian adalah Ku Nan.

“Malah, yang membuat keputusan supaya UMNO Bahagian mencadangkan agar saya dipecat juga Ku Nan. Bukan saya,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau juga mendakwa mendapat maklumat itu daripada ahli jawatan kuasa bahagian yang hadir pada mesyuarat tersebut.

Tun Faisal berkata, tidak semua ahli jawatan kuasa bahagian bersetuju dan menyokong tindakan Ku Nan dan beliau ada saksi mengenainya.

“Dulu pun semasa buat aduan, mereka mengadu kepada saya mereka diberi tekanan untuk tanda tangan surat aduan yang disediakan oleh UMNO Bahagian, bukannya mereka tandatangan secara rela,” katanya.

Beliau juga mahu Ketua Penerangan UMNO Bahagian Putrajaya, Datuk Mohd. Hisamudin Yahaya bersumpah bahawa mesyuarat itu tidak membincangkan hal untuk memecatnya daripada parti. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN