KUALA LUMPUR: Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz (BN-Padang Rengas) menempelak Khalid Abdul Samad (Amanah-Shah Alam) ketika meminta pendiriannya berhubung parti yang bekerjasama dengan ahli Dewan Rakyat melompat parti bagi membentuk kerajaan.
Ia susulan Barisan Nasional (BN) sebelum ini menyokong Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri setelah Pakatan Harapan (PH) tumbang daripada 22 bulan pentadbirannya.
“YB Pagoh (Tan Sri Muhyiddin) jadi Perdana Menteri pun dengan sokongan hangpa (kalian),” katanya yang merujuk kepada gabungan parti dalam Perikatan Nasional (PN).
“Jadi, jangan cuci tangan. Sama-samalah bertanggungjawab,” ujarnya.

Nazri yang sedang berbahas menjelaskan keadaan tersebut berbeza dengan tindakan melompat parti yang sedang dibincang pada waktu itu.
“Tak sama. Tak sama. Sebab, kita (BN) ada 42 kerusi sahaja, mereka (parti lain dalam PN) ada lebih. Pada ketika itu, kita ikut sahaja.
“Tetapi sekarang, ada ahli-ahli Parlimen yang berubah hati atas kezaliman PH. Jadi, mereka tinggal (keluar PH) dan ada sebab mereka tinggal.
“Tetapi, mereka (yang keluar PH) tidak menjadi ahli pentadbiran di bawah Perdana Menteri kita (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob). Ini fakta yang harus kita bezakan.
“Kalau dia nak sokong kita, nak buat macam mana? Dah (dia) meluat sangat tengok YB Shah Alam. Dia suka kita, takkan kita nak tahan,” balas Nazri. – UTUSAN