IPOH: Masyarakat Islam dinasihatkan agar tidak terpedaya dengan hasutan yang menyebar maklumat palsu mengenai vaksin sehingga mengakibatkan ramai yang tidak mengambil dos penggalak atau tidak membenarkan anak mereka menerima vaksin mencegah jangkitan Covid-19.
Teks khutbah Jumaat yang disediakan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) hari ini menyatakan, ketika ini terdapat kumpulan antivaksin yang cuba menimbulkan kekeliruan dengan mengaitkan vaksin dan teori konspirasi serta khabar palsu.
Akibatnya, dikhabarkan masyarakat Melayu lebih mudah mempercayai teori konspirasi daripada mempercayai nasihat pakar perubatan dan pakar agama.
“Elakkanlah diri daripada terpengaruh dengan khabar dan cerita yang tidak pun berasaskan ajaran Islam,” menurut teks tersebut.
Menurut teks yang bertemakan ‘Ramadan Dihayati, Kemudaratan Dihindari’ itu, sehingga 16 Mac lalu, hampir 75 peratus rakyat di Perak telah mendapat sekurang-kurangnya dua dos vaksinasi, tetapi hanya 35 peratus daripada kanak-kanak yang layak, yang telah menerima suntikan.
Justeru, ibu bapa dengan bantuan nasihat guru hendaklah memberikan keyakinan, agar lebih ramai kanak-kanak yang layak, tampil ke hadapan mengambil suntikan.
Pada masa sama, rekod Kementerian Kesihatan menunjukkan jumlah penduduk di negeri ini yang menerima suntikan penggalak, masih rendah, terutama dalam kalangan penduduk di luar bandar dan umat Islam.
“Mimbar menyeru agar jawatankuasa masjid dan surau, membantu mengenal pasti ahli kariah masing-masing yang perlu dibimbing pemahaman mereka, agar bersedia mendapatkan suntikan. Malah di mana sesuai, dengan kerjasama Jabatan Kesihatan, pekarangan masjid dan surau boleh dijadikan tempat memberi khidmat suntikan,” pesan teks tersebut.
Teks itu juga memberitahu pelbagai kelonggaran yang diberikan dalam tempoh melangkah ke fasa ‘peralihan ke endemik’ mulai hari ini tidak bermakna ancaman virus Covid-19 telah berakhir.
Oleh itu, teks itu menasihatkan perkara-perkara asas mengawal jangkitan masih perlu dipatuhi dan tidak bersikap alpa terhadap risiko jangkitan.
Menurut teks itu, walaupun umat Islam berhasrat agar kelonggaran yang selonggar-longgarnya dapat diberikan untuk membolehkan pelbagai aktiviti dilaksanakan bertujuan mahu mengimarahkan Ramadan, namun biarlah semua pihak mengamalkan budaya berdikit-dikit dahulu.
“Kesungguhan mematuhi peraturan dan disiplin tidak melanggar sekatan yang masih dikenakan, semoga akan dapat merendahkan angka jangkitan. Semoga kemenangan awal kita dapat menyambut Ramadan dalam suasana lebih ceria berbanding dua Ramadan yang lalu, akan dituruti dengan kemenangan lebih besar untuk menyambut Syawal yang lebih riang gembira,” jelas teks tersebut. – UTUSAN