PETALING JAYA: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menawarkan kadar caj letak kereta percuma untuk satu jam pertama bagi pengunjung di Seksyen 52, Petaling Jaya.
Dalam satu kenyataan hari ini, Unit Komunikasi Korporat MBPJ menjelaskan, langkah itu dibuat untuk menarik minat pengunjung meletakkan kenderaan di Kompleks A dan Kompleks C.
Kata kenyataan itu, ini bagi mengelakkan kesesakan kenderaan pada waktu puncak kerana pada waktu tersebut Seksyen 52 menerima jumlah pengunjung yang tinggi sehingga menyebabkan tempat letak kereta (TLK) di bahu jalan (On-street) tidak mencukupi bagi menampung permintaan pengguna.
“Terdapat 386 petak kosong di TLK Off-street yang boleh digunakan oleh pengunjung Seksyen 52 pada waktu puncak.
“Bagi menarik minat pengunjung untuk meletakkan kenderaan di Kompleks A dan Kompleks C, MBPJ akan melaksanakan kadar caj letak kereta ‘PERCUMA UNTUK 1 JAM PERTAMA’ di kedua-dua
kompleks letak kereta tersebut,” kata kenyataan tersebut.
Pada masa sama, MBPJ menjelaskan, kadar caj letak kereta sedia RM1.50 bagi jam kedua dan seterusnya adalah terpakai.
“Pelaksanaan kadar caj ‘PERCUMA UNTUK 1 JAM PERTAMA’ di Kompleks A dan Kompleks C akan bermula pada 25 April 2022, manakala penempatan TLK kakitangan MBPJ dijangka akan selesai di bulan Mei 2022.
“Untuk sebarang pertanyaan atau maklumat lanjut berhubung pelaksanaan ini, sila hubungi Jabatan Perbendaharaan MBPJ di talian 03-79563544 sambungan 145,138 atau 132,” kata kenyaatan tersebut. – UTUSAN










