Mayat wanita dalam gaung : Kertas siasatan diserah kepada DPP

Mayat wanita dalam gaung: Kertas siasatan diserah kepada DPP

KERATAN laporan Utusan Online.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SEREMBAN: Polis menyerahkan laporan kertas siasatan kes penemuan mayat wanita dalam gaung di Kilometer 14 Jalan Lama Bukit Putus Seremban-Kuala Pilah di sini, kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

Ketua Polis Daerah, Asisten Komisioner Nanda Maarof berkata, kertas siasatan tersebut  disiapkan baru-baru ini dan polis menunggu arahan daripada Timbalan Pendakwa Raya untuk pendakwaan.

“Kertas siasatan sudah selesai. Kami telah hantar baru-baru ini, hanya tunggu arahan (Timbalan Pendakwa Raya),” katanya di sini hari ini.

NANDA MAAROF

Dalam pada itu, Nanda berkata, tempoh reman tiga suspek bersaudara yang ditahan bagi membantu siasatan kes tersebut yang berakhir semalam dilanjutkan.

“Tempoh reman suspek utama lelaki berusia 41 tahun dan seorang wanita berusia 18 tahun disambung sehingga 16 April ini manakala seorang lagi suspek lelaki berusia 44 tahun direman sehingga esok (13 April),” katanya.

Mereka juga direman susulan penemuan satu tengkorak dan cebisan tulang dipercayai milik seorang kanak-kanak perempuan berusia lima tahun di kawasan belukar berhampiran tangki air di Taman Bukit Zamrud di sini, pada 7 April lalu. 

Pada 20 Mac lalu, media melaporkan seorang lelaki berusia 50-an yang sedang berjoging dikejutkan dengan penemuan mayat dipercayai wanita dalam gaung di Kilometer 14, Jalan Lama Bukit Putus Seremban-Kuala Pilah di sini.

Tiga hari selepas itu, tiga suspek direman bagi membantu siasatan kes, namun tempoh reman mereka dilanjutkan sehingga semalam.

Ketiga-tiga suspek yang mempunyai talian persaudaraan itu direman di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan iaitu bunuh. – UTUSAN

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN