ALOR GAJAH: Mayat seorang lelaki ditemukan dalam tali air dipercayai terlibat dalam kemalangan di Kampung Pulau di sini, Jumaat lalu.
Ketua Polis Daerah Alor Gajah, Superintenden Arshad Abu berkata, polis menerima panggilan telefon daripada orang awam berhubung penemuan mayat kira-kira pukul 5.15 petang.
Katanya, sebelum kejadian unit polis peronda menemukan sebuah motosikal dengan kesan kemalangan di tempat kejadian, kira-kira pukul 9.40 pagi dan membawa kenderaan itu ke Balai Polis Durian Tunggal.
“Pada petangnya kita menerima panggilan orang awam mengenai satu mayat ditemukan dalam tali air kurang lima meter dari tempat motosikal terbabit. Barang-barang berharga seperti wang tunai, beg duit serta jam tangan si mati turut ditemukan pada badannya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambahnya, pemeriksaan awal tubuh badan si mati menemukan kesan luka di kepala serta kesan calar di siku kanan dipercayai akibat kemalangan.
Jelasnya, pengecaman mayat telah dibuat oleh bapa si mati dan mangsa merupakan seorang lelaki berusia 23 tahun.
“Si mati tidak tinggal bersama keluarga dan kali terakhir dilihat oleh ahli keluarga adalah di rumah neneknya kira-kira pukul 10 malam pada 21 April lalu di Kampung Gangsa. Hasil bedah siasat yang dijalankan mengesahkan kecederaan si mati adalah konsisten dengan kemalangan si mati dan mengalami kelemasan,” jelasnya.
Katanya, saksi kejadian diminta tampil bagi membantu siasatan yang dibuat mengikut Sek 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan. – UTUSAN










