PUTRAJAYA: Pendekatan Maqasid Syariah perlu diterjemahkan dalam bentuk pelaksanaan dan dijadikan panduan atau kerangka dalam membangunkan dasar-dasar baharu sambil memperkasa yang sedia ada.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sekiranya dasar-dasar tersebut dilaksanakan dengan sebaiknya dan kefahaman jelas diberikan kepada penjawat awam pada semua peringkat, beliau optimis, kesejahteraan yang diimpikan mampu dijiwai seluruh anggota ahli Keluarga Malaysia.
Untuk tujuan, kata beliau, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) wajar dijadikan pusat rujukan semua kementerian dan agensi untuk melaksanakan tadbir urus berasaskan Maqasid Syariah.
“Saya juga menggalakkan pelaksanaannya di peringkat negeri oleh Majlis Agama Islam Negeri-negeri (MAIN) dan Jabatan Agama Islam Negeri-negeri (JAIN),” katanya ketika berucap merasmikan sesi taklimat umum dan Majlis Pelancaran Buku Keluarga Malaysia Keluarga Sejahtera, di sini hari ini.
Buku berkenaan dihasilkan Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui Jakim dan Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang menekankan aspek tadbir urus holistik dan mampan berasaskan syariat Islam dalam memelihara hubungan Keluarga Malaysia.
Kata Perdana Menteri, ia juga memandu pembuat dasar untuk memperkukuh kesejahteraan Keluarga Malaysia melalui penyampaian perkhidmatan yang diberikan.
Menurut beliau, Maqasid Syariah perlu dijadikan teras setiap dasar dalam membentuk sesebuah negara adil, sejahtera dan harmoni sebagaimana pernah dinyatakan beliau dalam satu persidangan anjuran Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia pada September lalu.
Katanya, pendekatan Maqasid Syariah itu diperjelaskan lagi dalam tadbir urus Keluarga Malaysia dengan mengambil kira Islam sebagai agama Persekutuan, justeru beliau berharap setiap kementerian dan agensi dapat menzahirkan prinsip pemeliharaan maslahah dalam setiap dasar yang digubal.
“Prinsip ini menekankan perkara-perkara universal, sesuai untuk seluruh ahli Keluarga Malaysia yang mendambakan kesejahteraan dan keharmonian antara kaum dan penganut pelbagai agama.
“Ia tidak mengehadkan amalan dan kepercayaan agama lain, tetapi ia menuntut nilai kebersamaan dalam memelihara hubungan sesama kita,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, Aspirasi 100 Hari Keluarga Malaysia menunjukkan kejayaan membanggakan, namun, kerajaan masih belum berpuas hati dan bertekad untuk mendepani dua cabaran utama iaitu memerangi pandemik Covid-19 dan memulihkan ekonomi negara.
Pada masa sama, katanya pengupayaan Keluarga Malaysia perlu mengimbangi kepentingan spiritual dan rohani dengan pembangunan fizikal dan pengukuhan ekonomi.
“Sekiranya tumpuan hanya diberikan kepada pembangunan fizikal tanpa menekankan aspek spiritual, apa yang dibimbangi akan wujud kepincangan dalam usaha memperkukuhkan perpaduan negara.
“Sebagai pembuat dasar, kerajaan perlu memainkan peranan bersungguh-sungguh dalam menyusun atur segala langkah bagi menterjemahkan konsep kesejahteraan agar ia dapat meresap ke dalam jiwa seluruh Keluarga Malaysia,” katanya. – UTUSAN