‘Mana pergi semua?’ - TMJ persoal ahli politik berkaitan kes Bella - Utusan Malaysia

‘Mana pergi semua?’ – TMJ persoal ahli politik berkaitan kes Bella

TUNKU ISMAIL SULTAN IBRAHIM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mempersoal tindakan pemimpin politik sama ada daripada pihak kerajaan mahupun pembangkang yang mendiamkan diri berhubung isu penderaan Bella.

Menerusi Instastory laman sosial Instagram HRH Crown Prince of Johor, baginda turut mempersoalkan sama ada golongan berkenaan mempunyai kaitan dengan pengasas Rumah Bonda terbabit.

“Berkenaan kes Bella. Mana pergi semua ahli politik yang kononnya pro hak kemanusiaan ini semua? Senyap je.

“Ada apa-apa kaitan dengan Rumah Bonda ke?” Soalnya.

Tunku Ismail turut mengutarakan persoalan adakah rumah penjagaan itu terlibat dalam apa-apa aktiviti yang melanggar undang-undang negara apabila dilihat terlalu kebal.

“Adakah beberapa rumah ini semua digunakan pihak-pihak tertentu untuk pengubahan wang haram dan pemerdagangan manusia? Dua-dua belah senyap,” katanya.

Baginda turut menamatkan hantaran berkenaan dengan tandapagar #justiceforbella.

Pada 19 April lalu, Tunku Ismail bertemu dengan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Rina Harun bagi membincangkan soal pembelaan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) Down Sindrom itu.

Baginda pada masa sama turut menyeru kerajaan agar menambah baik undang-undang semasa melibatkan Akta Kanak-Kanak 2001 bagi mengelak kejadian menimpa Bella daripada berulang.

Titah Tunku Mahkota Johor, penambahbaikan itu perlu dilaksanakan di peringkat pindaan undang-undang bagi membolehkan akta berkenaan benar-benar mencapai matlamatnya.

Malah, baginda turut berkenan melantik empat peguam pemerhati untuk mengikuti prosiding mahkamah melibatkan kes Bella yang mendapat perhatian seluruh negara apabila dia didakwa didera dan diabaikan pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali, 31.

Mahkamah sebelum ini mengenakan dua pertuduhan terhadap Siti Bainun iaitu mengabaikan dan menganiaya Bella sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN