Mampukah ketum jadi komoditi? - Utusan Malaysia

Mampukah ketum jadi komoditi?

ketum
TANAMAN ketum dikatakan mampu memberi pendapatan lumayan kepada pekebun kecil dan nilainya sangat tinggi jika dieksport ke Thailand.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Sejak kebelakangan ini, beberapa pihak khususnya Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Datuk Seri Muhammad Sanusi Md. Nor menuntut kerajaan ‘menghalalkan’ penanaman dan pengeksportan ketum, terutama melibatkan pasaran Thailand.

Alasan dikemukakan beliau, langkah itu secara tidak langsung dapat membanteras kegiatan penyeludupan yang kini berleluasa di sempadan Malaysia dan Thailand.

Selain itu katanya, kerajaan boleh memperoleh pendapatan cukai serta mengurangkan penggunaan tenaga, komitmen, sumber serta masa yang digunakan untuk membanteras kegiatan penyeludupan.

‘Menjawab’ kepada kenyataan yang ditegaskan Muhammad Sanusi itu, mengikut maklumat diperoleh Utusan Malaysia, Perlis dan Kedah dianggarkan mampu menjana pendapatan sehingga RM180 juta setahun jika tumbuhan berkenaan dikomersialkan seterusnya dieksport.

Komoditi baharu tersebut secara tidak langsung akan memberi kesan positif kepada pertumbuhan ekonomi atau melonjakkan peningkatan keluaran dalam negara kasar (KDNK).

Nilai eksport RM180 juta setahun itu, hanya mengambil kira jika purata anggaran nilai rampasan atau aktiviti penyeludupan sebanyak RM15 juta sebulan di negeri-negeri sebelah utara yang aktif dengan penanaman ketum.

Mengikut maklumat itu, di Perlis sahaja setiap bulan lebih 15,000 kilogram daun dari tumbuhan itu bernilai RM9 juta diseludup ke Thailand.

Lazimnya, penanaman banyak di Kedah dan setengah kawasan di Perak dengan Perlis khususnya di Padang Besar, Wang Kelian termasuk laluan laut di Kuala Perlis menjadi laluan aktiviti penyeludupan daun berkenaan ke Thailand.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Ekonomi Fakulti Sains Gunaan dan Kemanusiaan Universiti Malaysia Perlis (Unimap), Dr. Mohd. Shahidan Shaari berkata, jika kerajaan membenarkan penanamannya untuk tujuan komersial, nilai eksport mungkin lebih tinggi berbanding eksport sekarang terpaksa dilakukan secara curi-curi.

Menurut beliau, jika mengambil kira nilai rampasan atau seludup yang anggarkan RM15 juta sebulan, bermakna setahun sudah RM180 juta.

Mohd. Shahidan memberitahu, jika kerajaan membenarkan tanaman itu dikomersialkan sudah tentu membantu menjana pendapatan bukan sahaja untuk negara tetapi kepada pekebun-pekebun.

“Nilai eksport itu cuma anggaran dan mungkin lebih pendapatan kepada negara jika dikomersialkan untuk tujuan eksport khususnya di Thailand yang mendapat permintaan tinggi dengan harganya pula difahamkan sampai RM150 ke RM180 sekilogram.

“Kalau dilihat, komersial ketum ini bukan sahaja di Thailand malah juga di Amerika Syarikat (AS) untuk tujuan perubatan,” katanya.

Cadangan eksport disokong Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid yang memaklumkan tanaman ketum mampu menjana pendapatan pekebun Risda sekiranya kerajaan membenarkannya dieksport.

Malah, Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia yang juga Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin juga senada dengan menyifatkan penanaman secara sah mempunyai banyak kebaikan khususnya dari aspek perubatan dan membawa pulangan lumayan.

Mengulas lanjut, Mohd Shahidan berkata, mengambil kira sudut positif, tumbuhan itu sebenarnya berpotensi menjadi komoditi terbaharu selain getah dan kelapa sawit.

Bagaimanapun katanya, pelaksanaan tersebut memerlukan peraturan, syarat-syarat, penguatkuasaan dan diberi lesen untuk mengusahakan tanaman bagi mengelak masalah penyalahgunaan daun ketum.

Katanya, aktiviti eksport ketum akan memberi kesan positif kepada peningkatan KDNK selain membantu nilai ringgit naik berbanding Thailand.

Ketum ditanam seluas 140 hektar di Kedah

Terdahulu menurut rekod, kawasan tanaman itu yang diusahakan penduduk di Kedah meliputi kawasan seluas lebih 140 hektar dipercayai terbesar di negara ini.

Sebanyak empat daerah dikenal pasti mempunyai kawasan tanaman ketum yang luas iaitu di Padang Terap, Pendang, Sik dan Baling.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Makanan, Perusahaan Perladangan, Komoditi, Pengangkutan dan Hal Ehwal Masyarakat India negeri, Azman Nasrudin berkata, keluasan ladang ketum yang direkodkan di Padang Terap adalah 94 hektar, Pedang (30 hektar), Sik (tujuh hektar) dan Baling (tiga hektar).

Katanya, terdapat seramai 177 penduduk yang dikenal pasti mengusahakan tanaman tersebut di Kedah dan keseluruhan kawasan tanaman ketum itu mempunyai sebanyak 84,577 pokok.

Sumber memberitahu, kebanyakan tanaman itu diusahakan oleh penduduk tempatan di kawasan bekas kebun getah, sawah padi serta tanah terbiar dan mereka mengusahakan tanaman ketum kerana tidak melibatkan sebarang kesalahan dan pendapatan mereka juga tinggi.

Tambahnya, kebanyakan tanaman ketum diusahakan untuk dijual kepada sindiket sebelum diseludup keluar ke negara jiran manakala terdapat juga pemborong yang membeli daun ketum bagi memenuhi permintaan di pasaran gelap di negara ini.

SEORANG pemotong pokok menebang pokok ketum pada operasi menebang pokok tersebut di Felda Mata Ayer, Padang Besar, Perlis pada 30 September lalu.

Pokok ketum matang hasil 10kg daun sekali tuai

Di ‘sudut positifnya’ tanaman ketum mampu menjana pendapatan sehingga RM40,000 sebulan jika mempunyai 100 batang pokok yang menghasilkan 2,000 kilogram daun ketum untuk dua kali tuai.

Ini kerana sebatang pokok boleh menghasilkan lima hingga 10 kilogram daun untuk sekali kutip dengan hasil jualan mencecah RM200 setiap dua minggu.

Jumlah tersebut adalah kiraan bagi harga pasaran gelap tempatan sebanyak RM20 sekilogram, yang mana jika daun ketum dijual di Thailand harganya mencecah RM100 sehingga RM150 bagi setiap kilogram.

Difahamkan, selepas dikutip, daun ketum kembali tumbuh dalam tempoh dua minggu bergantung kepada keadaan cuaca.

Setiap batang pokok ketum matang sekitar usia empat tahun dan ke atas boleh menghasilkan lima hingga 10 kilogram daun untuk sekali tuai.

Tanaman ketum di Perlis merangkumi ladang, kebun kecil serta kawasan persendirian di kampung-kampung adalah seluas 10.75 hektar.

Seorang penduduk yang enggan namanya didedahkan memberitahu, terdapat 74 pokok ketum di belakang rumahnya dan setiap pokok boleh menghasilkan antara lima hingga 10 kilogram daun untuk sekali kutip dan lazimnya tuaian dibuat dua kali sebulan.

Jelasnya, 74 batang pokok ketum di belakang rumahnya mampu menghasilkan kira-kira 740 kilogram daun sekali kutip yang mana jika dijual pada harga serendah RM15 sekilogram, dia mampu menjana pendapatan lebih RM11,000 dalam tempoh dua minggu atau RM22,000 sebulan.

“Bayangkan kalau daun berkenaan dieksport ke Thailand dengan harga jauh lebih tinggi. Itulah nilai pokok ketum yang mampu membawa pulangan cukup lumayan. Namun sayangnya, kerajaan belum membenarkan penanaman ketum untuk tujuan komersial dan eksport tumbuhan berkenaan sedangkan negara-negara lain termasuk Thailand sudah meraih hasil daripada ketum.

“Di Perlis tidak banyak ladang-ladang sebaliknya tanaman hanya di kawasan-kawasan belakang rumah. Itu pun sudah mampu memberi pulangan lumayan jika daun berkenaan dijual,” katanya.

DAUN pokok ketum matang yang dijumpai dalam Op Benteng di sempadan Malaysia-Thailand. – UTUSAN/MUHAMAD IQBAL ROSLI

Potensi ketum dalam perubatan

Kajian me­nunjukkan bahan kimia ‘mitragynine’ da­lam ketum berupaya menurunkan ketagihan morfin dalam sel neuroblastoma manusia.

Rektor Universiti Teknologi Mara (UiTM) Cawangan Pahang, Profesor Dr. Mohd. Ilham Adenan berkata, kajian itu dibuat pasukan penyelidikannya pada 2013.

Beliau yang sejak 2010 aktif mela­kukan penyelidikan tentang ketum berkata, kajian yang diterbitkan dalam Journal Of Ethnopharmacology itu mengaitkan potensi daun ketum untuk digunakan sebagai rawatan alternatif ketagihan morfin dalam kepekatan rendah.

“Kajian juga mendapati ketum mempu­nyai kesan antiradang yang juga telah diterbitkan dalam jurnal saintifik sama pada 2011. Harus diingatkan bahawa kesan positif penggunaan ketum adalah pada kepekatan yang rendah dan ia juga tidak boleh dicampurkan dengan bahan-bahan tambahan lain,” katanya.

Dr. Mohd. Ilham berkata, kajian sampingan lain juga menunjukkan ketum mempunyai kesan pemberi tenaga jika digunakan pada kepekatan yang rendah.

“Kajian ini mengaitkan penggunaan ketum sebagai ramuan untuk menghilangkan keletihan,” katanya.

Perlis tunggu isu perundangan selesai

Terdahulu, Perlis tidak bercadang untuk mengeksport ketum selagi perihal berkaitan perundangan untuk menghalalkan tanaman tersebut tidak diselesaikan terlebih dahulu.

Menteri Besar, Datuk Seri Azlan Man berkata, walaupun tidak ada akta yang menghalang penanaman pokok itu, namun ada undang-undang yang mencegah penjualan dan penggunaannya.

Katanya, perancangan teliti dan kaedah penyelesaian juga diperlukan bagi menangani penyalahgunaan daun tumbuhan itu.

“Kita selesaikan dahulu masalah perundangan kerana jika masalah itu tidak diselesaikan, nak jual atau nak tanam ketum (untuk komersial) tak boleh dilakukan. Semuanya perlu ada rangka kerja undang-undang yang boleh membenarkan ia berlaku. Tanpa perundangan ia tidak dapat dilakukan,” katanya.

Mengulas mengenai pandangan sesetengah pihak yang mengatakan keberkesanannya dalam merawat penyakit Covid-19, Azlan berkata, perkara itu hanyalah berdasarkan khabar angin tanpa bukti yang kukuh.

Bagaimanapun, beliau mengakui tumbuhan itu mempunyai nilai-nilai perubatan di dalamnya dan telah digunakan oleh orang-orang tua pada zaman dahulu untuk tujuan perubatan.

Penyeludup pilih laluan laut berbanding darat

Dalam pada itu, penyeludup memilih laluan laut untuk mengelak daripada dicekup pihak berkuasa kerana peluang meloloskan diri lebih terbuka berbanding menggunakan jalan darat.

Malah, ketum atau dadah boleh diseludup ke Thailand pada bila-bila masa bersesuaian dan dalam kuantiti tanpa had di perairan Kuala Perlis.

Buktinya, dalam tempoh tiga bulan sehingga Mac tahun ini, sebanyak 479 kilogram ganja dan 100 biji pil kuda bernilai RM2.3 juta berjaya dirampas Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Kuala Perlis.

Rampasan ketum dalam tempoh sama pula sebanyak 5.5 tan metrik dengan nilai RM936,000.

Di laluan darat dalam tempoh sehingga Februari tahun ini, hanya merekodkan nilai rampasan daun ketum sebanyak RM171,187 membabitkan lebih 17,000 kilogram daun itu.

Sebanyak tiga kes rampasan ganja membabitkan berat 830 kilogram dengan nilai RM10 juta dirampas pada 2020.

Rampasan ketum bagi tahun sama pula ialah sebanyak 3.16 tan metrik bernilai RM252,800.

Jumlah rampasan tumbuhan itu menunjukkan peningkatan ketara pada 2021 iaitu sebanyak 10.7 tan metrik melibatkan nilai RM1.3 juta.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pengarah Zon Maritim Kuala Perlis, Komander Maritim Mohd. Hashim Mat Zain berkata, aktiviti penyeludupan di laluan laut dijangka meningkat 30 peratus menjelang pembukaan sempadan.

Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad berkata, kebanyakan aktiviti penyeludupan seperti ketum, ganja dan syabu dilakukan di perairan negara.

RM4.98 juta nilai rampasan ketum dalam lima tahun

Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu pejabat Polis Kontinjen Perlis dalam kenyataannya kepada Utusan Malaysia pula memberitahu, sebanyak RM4.98 juta nilai ketum dirampas sepanjang lima tahun di Perlis sejak 2018 hingga 2021.

Jabatan itu memaklumkan, tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun 2020 merekodkan nilai rampasan tertinggi iaitu RM1.8 juta membabitkan 183,000 kilogram.

Tahun 2021 turut merekodkan nilai rampasan agak tinggi iaitu 178,000 kilogram melibatkan nilai RM1.7 juta.

“Pada 2018 rampasan melibatkan nilai RM494,930, 2019 (RM103,351) dan Januari sehingga Februari tahun ini melibatkan rampasan sebanyak 17,187 kilogram dengan nilai RM171,870,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN