PUTRAJAYA: Malaysia komited dalam menangani isu buruh paksa, tegas Menterinya, Datuk Seri M. Saravanan.
Ke arah itu, beliau berkata, pihak kementerian telah meminta Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) dan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) memaklumkan terlebih dahulu sebarang siasatan berhubung buruh paksa.
Menurut beliau, langkah tersebut supaya masalah itu dapat diatasi sebelum produk Malaysia disekat daripada memasuki negara itu.
Tambahnya, terdapat beberapa produk dikenakan sekatan eksport oleh Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS dengan alasan faktor buruh paksa namun sehingga kini kementerian tidak menerima sebarang siasatan daripada pihak AS.
“Ini menjadikan kita sukar mengambil tindakan terhadap majikan. Kami telah menjalankan siasatan mengikut 11 indikator buruh paksa sedia ada yang digariskan ILO tetapi tidak dapat mengesan kesalahan.
“Maka jumpa pihak ILO dan Kedutaan AS supaya sebarang siasatan oleh pihak AS harus dimaklumkan kepada kita, jika tidak kita tidak akan lihat penyelesaian,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika merasmikan Majlis Penyampaian Geran Pembangunan Kesatuan Sekerja dan Pelancaran Buku Perkembangan dan Isu-isu Kesatuan Sekerja di Malaysia, di sini hari ini.
Peruntukan Geran Pembangunan Kesatuan Sekerja tahun ini ditingkatkan kepada RM2.6 juta dalam membantu lebih banyak kesatuan sekerja menjalankan aktiviti dengan sejumlah 315 permohonan telah diluluskan di seluruh negara.
Mengulas lanjut, Saravanan berkata, komitmen negara menangani isu ini boleh dilihat apabila beliau telah mewakili Kerajaan Malaysia ke ILO di Geneva, Switzerland pada bulan Mac lalu.
“(Usaha ini) bagi mendeposit ratifikasi protokol ILO berhubung buruh paksa atau Protokol 29,” katanya. – UTUSAN