Malaysia kecam tindakan biadab rejim Israel serang Al-Aqsa

Malaysia kecam tindakan biadab rejim Israel serang Al-Aqsa

SAIFUDDIN ABDULLAH
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia mengecam sekeras-kerasnya tindakan biadab pasukan keselamatan rejim Israel yang menyerang umat Islam di Masjid Al-Aqsa awal pagi semalam.

Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menerusi kenyataan berkata, perbuatan keji tentera Zionis itu menceroboh Al-Quds ketika berlangsung solat Subuh juga amat dikutuk keras.

“Perlakuan tidak berperikemanusiaan itu adalah amat dikesali dan tidak sepatutnya berlaku lebih-lebih lagi pada hari Jumaat yang mulia dalam bulan Ramadan,” katanya di sini hari ini.

Sekurang-kurangnya 115 rakyat Palestin cedera dalam insiden tersebut apabila tentera Israel menceroboh masuk menembak jemaah di laman masjid ketiga paling suci bagi umat Islam itu.

Tentera Israel turut bertindak menghalang ambulans dari Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin menghampiri kawasan masjid bagi merawat mangsa yang cedera terperangkap di sana.

Bagaimanapun media Barat enggan menyiarkan berita itu kerana cuba melindungi imej Israel dan lebih memperbesarkan isu di Ukraine konon askar Rusia melanggar hak asasi manusia.

Laporan ini hanya disiarkan media di negara-negara Islam yang memaparkan kebiadaban tentera Zionis membantai wanita, warga emas, kanak-kanak, wartawan dan pengawal masjid.

Mengulas lanjut, Saifuddin menyifatkan tindakan kurang ajar pasukan rejim menyasarkan jemaah yang lemah ketika umat Islam berpuasa itu sebagai kejam dan tidak boleh diterima.

“Malaysia akan terus konsisten dalam memperjuangkan nasib dan kebajikan rakyat Palestin,” tegasnya merujuk usaha negara itu diiktiraf sebagai wilayah yang berdaulat dan merdeka.

Dalam pada itu, Kementerian Luar Arab Saudi turut mengutuk serangan tersebut dan menggesa komuniti antarabangsa tidak bersikap dwistandard terhadap keganasan Israel di Palestin.UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN