PUTRAJAYA: Kerajaan Malaysia akan berusaha membawa isu keganasan rejim Israel ke atas Palestin baru-baru ini untuk dibincangkan serius oleh Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
Menteri Luar, Datuk Seri Saifuddin Abdullah malah berkata, pihaknya sedia mengenengahkan isu itu dibahaskan negara anggota Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB).
“Kita sedang cuba mengusahakannya supaya tindakan segera dapat diambil oleh masyarakat antarabangsa dan memastikan insiden yang sama di Al-Aqsa itu tidak berulang lagi,” jelasnya dalam sidang akhbar selepas majlis pengumuman pelantikan 13 ahli Jawatankuasa Belia untuk Hubungan Antarabangsa dan Diplomasi, Majlis Belia Malaysia.
Isu Palestin kembali timbul apabila pasukan tentera rejim Israel biadab menyerang umat Islam yang menunaikan solat fardu subuh berjemaah di Masjid Al-Aqsa pada Jumaat minggu lalu mengakibatkan lebih 100 orang awam cedera dengan askar terbabit juga berlagak angkuh menyekat ambulans untuk membantu mengangkut mangsa ke hospital bagi rawatan.
Mengulas lebih lanjut, Saifuddin turut menghubungi pemimpin kanan Hamas di Gaza, Ismail Haniyeh dan Menteri Luar Palestin, Riyad al-Maliki bagi menyatakan sokongan oleh Malaysia.
“Mereka berdua juga berharap agar insiden sebegini ditamatkan segera dan tidak berlarutan seperti pernah berlaku pada Ramadan tahun lalu yang diikuti perang selama 11 hari,” katanya.
Konflik berkenaan ujarnya, jika dibiarkan tanpa ada tindakan antarabangsa, dibimbangi boleh sekali lagi mencetuskan perang yang boleh membunuh ramai nyawa penduduk tidak berdosa.
Justeru, Malaysia akan mengusulkan isu krisis di Al-Aqsa itu untuk perhatian OIC dan PBB supaya dunia tidak lupa kezaliman dilakukan rejim Israel yang seolah-olah tidak diberikan fokus.
Beliau turut memaklumkan misi bantuan kemanusian Malaysia di Palestin tetap akan diteruskan seperti biasa dan terbaharu melibatkan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia. – UTUSAN










