SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memperuntukkan sumbangan berjumlah RM500,000 bagi membantu kebajikan 8,100 anak yatim di negeri ini setiap tahun.
Setiausaha MAIS, Dr. Ahmad Shahir Makhtar berkata, dana itu disalurkan menerusi peruntukkan Baitulmal MAIS kepada Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE).
“YIDE selaku anak syarikat MAIS yang bertanggungjawab mengurus dan menyelia hal ehwal kebajikan anak yatim di Selangor.
“Sebagai sebuah agensi Islam yang bertanggungjawab menyantuni anak yatim, MAIS berharap bantuan itu dimanfaatkan untuk pengurusan rumah berdaftar selain memelihara kebajikan dan hal ehwal mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis sumbangan Geran Tahunan Anak Yatim Tahun 2022 dan Agihan Bubur Lambuk bersama Jabatan Hal Ehwal Islam Selangor di Paya Jaras, dekat sini, hari ini.
Simbolik penyerahan sumbangan itu disempurnakan Pengerusi MAIS, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof.
Jelas Ahmad Shahir, pihaknya turut menyalurkan sumbangan duit raya kepada 110 anak yatim menerusi peruntukan Baitulmal MAIS.
“Ia antara inisiatif mengimarahkan Ramadan dan mengeratkan hubungan silaturahim dengan golongan berkenaan.
“Selain itu, kami mahu berkongsi rezeki dengan komuniti setempat terutama penghuni rumah anak yatim,” ujarnya.
Tambah beliau, penganjuran program seumpama itu turut mendapat kerjasama Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Jabatan Mufti Selangor, Jabatan Pendakwaan Syariah Selangor dan Jabatan Kehakiman Syariah Selangor.
“Ia turut dibantu Lembaga Zakat Selangor (LZS), Perbadanan Wakaf Selangor (PWS), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Teraju Ekonomi Asnaf Sdn. Bhd. dan Bakti Suci Holding Sdn. Bhd,” jelasnya. –UTUSAN









