SHAH ALAM: Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) komited membantu untuk memberi sokongan pemulihan kepada golongan seperti pesakit HIV, golongan lesbian, gay biseksual dan transgender (LGBT).
Malah, turut dibantu seperti golongan kanak-kanak terpinggir serta pesakit mental dan bekas penagih dadah.
Menurut Pengerusinya, Tan Sri Abdul Aziz Mohd. Yusof, pesakit mental yang baru keluar dari institusi rawatan dan bekas penagih dadah turut berada dalam radar pihaknya untuk dibantu di bawah asnaf riqab.
“Pesakit mental misalnya yang keluar dari hospital seperti Hospital Tanjung Rambutan kita akan bantu seandainya keluarga mereka tidak dapat menjaganya.
“Bagi memastikan golongan seperti pesakit mental dan bekas penagih dadah tidak kembali menghadapi masalah yang sama, kita bantu mereka dengan memberi rumah perlindungan di bawah bantuan geran pemulihan Riqab MAIS ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan geran pemulihan riqab MAIS dan Majlis Perasmian Iftar dan Tadarus Perdana Riqab MAIS 2022 di Wisma Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS), di sini malam tadi.
Abdul Aziz berkata, MAIS menyerahkan sumbangan RM11.2 juta kepada 24 buah Rumah Pemulihan Riqab (RPR) menerusi Bantuan Geran Pemulihan Riqab bagi membantu kebajikan asnaf tersebut.
Katanya, sumbangan RM11.2 juta tersebut melibatkan kos program, pengurusan dan penjagaan RPR di bawah seliaan MAIS bagi tahun ini.
“Antara RPR yang menerima bantuan ialah Rumah Pemulihan Akhlak Insani, Rumah Solehah, Rumah Bela Insan dan Rumah Perlindungan & Bimbingan Wanita Bayt Rahmah.
“MAIS juga turut menyumbang sebanyak RM293,920.00 kepada 1,117 orang asnaf riqab di negeri ini bagi membantu asnaf tersebut membuat persiapan awal menyambut kedatangan Syawal tidak lama lagi,” katanya.
Mengulas lanjut beliau berkata, bantuan geran yang diagihkan menggunakan peruntukan zakat asnaf riqab bagi membantu asnaf riqab yang memerlukan bantuan pemulihan, perlindungan, rawatan, pencegahan dan kawalan untuk menggalakkan mereka kembali ke pangkal jalan.
Kata Abdul Aziz lagi, berharap bantuan yang diberikan dapat digunakan sebaiknya terutama kepada pengusaha RPR untuk menjalankan tanggungjawab sosial bagi memastikan asnaf tersebut diberi perlindungan sewajarnya. – UTUSAN