LEMBAGA Zakat Selangor (LZS) tidak melupakan golongan kurang bernasib baik seperti anak-anak yatim, golongan asnaf, kanak-kanak autisme dan Orang Asli supaya mereka dapat menikmati keindahan Ramadan dan Syawal seperti orang lain.
Baru-baru ini, lebih 100 anak yatim serta pelajar dari pusat tahfiz diraikan dalam Majlis Iftar Cahaya Aidilfitri yang merupakan sebahagian daripada aktiviti di bawah Program Kasihku Zakat Selangor yang dijangka berlangsung sehingga penghujung Ramadan.
Malah, pada sambutan kali ini, syarikat Grab Malaysia bersama Yayasan Islam Darul Ehsan turut terlibat sama bagi menjayakan Program Kasihku Zakat Selangor yang telah dilaksanakan sejak 2017.
Tahun lalu, Grab Malaysia menyalur sebanyak RM531,877.78 kutipan zakat yang diperoleh dalam kalangan pemandu Grab melalui potongan zakat bulanan.
Justeru, syarikat peneraju e-hailing itu memberi kepercayaan kepada LZS untuk melaksanakan lima program termasuk Majlis Iftar Cahaya Aidilfitri iaitu Singgah Sahur, Program Cahaya Ramadan, Program Bakul Raya Warga Emas dan Dapur Raya Asnaf Mualaf.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini, program tersebut dilaksanakan melalui sumbangan daripada dana wakalah agihan satu perlapan Grab Malaysia yang berjumlah RM66,484.72 yang disalurkan kembali kepada anak-anak yatim dan asnaf.
Katanya, yang diraikan kali ini ialah Rohana Darul Fakir, Pertubuhan Kebajikan Ehsan As-Shakur dan Institusi Tahfiz Al-Quran Negeri Selangor-Maahad Hafiz Klang. – UTUSAN










