PETALING JAYA: Walaupun negara sudah beralih ke fasa endemik, namun umat Islam masih digalakkan untuk menunaikan zakat seperti zakat fitrah pada bulan Ramadan ini secara dalam talian sebagai langkah pencegahan wabak Covid-19.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Zakat Selangor (LZS), Mohd. Sabirin Mohd. Sarbini, fasa pandemik Covid-19 dua tahun lalu perlu dijadikan panduan di samping memanfaatkan kemudahan teknologi dalam usaha melindungi diri daripada wabak.
“LZS sentiasa mengalu-alukan umat Islam menunaikan ibadah zakat fitrah sebagaimana dua tahun lalu semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengekang pandemik Covid-19.
“Pembayaran zakat fitrah secara dalam talian lebih selamat dari aspek kesihatan dan menjimatkan masa,” katanya selepas Program Ziarah Kasih Ramadan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) Bersama LZS 2022 di Kampung Tengah Puchong hari ini.
Mengenai pembayaran zakat fitrah tahun ini beliau berkata, buat masa sekarang sambutan masih belum menggalakkan memandangkan bulan Ramadan belum memasuki fasa kedua.
“Buat masa ini pembayaran zakat fitrah kurang menggalakkan, mungkin minggu depan umat Islam akan mula menunaikan zakat. Kita ada 2,000 Penolong Amil Fitrah ditempatkan di lokasi-lokasi tertentu seperti pasar raya, masjid dan kawasan strategik,” katanya.
Sementara itu Mohd. Sabirin berkata, pihaknya bersama LZS akan mengadakan program sedemikian di lain kawasan pada masa depan.
“Program hari ini adalah antara pihak MBSJ dan LZS untuk membantu golongan asnaf di dua kawasan bagi mengurangkan beban mereka selepas banjir besar tahun lalu. Kita telah memilih 12 keluarga melibatkan enam keluarga dari Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 6 dan enam keluarga dari MPP Zon 12,” ujarnya. – UTUSAN










