Lima beranak hidup daif, anak belajar dalam gelap - Utusan Malaysia

Lima beranak hidup daif, anak belajar dalam gelap

SITI Aisyah Mohamad Zamri menggunakan lampu menggunakan elektrik yang disambung dari rumah jirannya di Lorong Setia, Jalan Rahmat Kampung Melayu Majidee, Johor Bahru semalam. – UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

JOHOR BAHRU: Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Begitulah kedaifan kehidupan Nur Rizan Aman, 46, dan empat anaknya yang tinggal di Lorong Setia, Jalan Rahmat Kampung Melayu Majidee namun pendidikan anak-anak­nya tidak diabaikan.

Rumah yang mereka duduki bukan sahaja bocor bumbungnya tetapi juga hampir roboh, malah hanya ditutup kain dan plastik selain tiada bekalan elektrik sejak tiga tahun lalu.

Ketika dikunjungi, kelihatan anak keduanya, Siti Aisyah Mohamad Zamri, 19, iaitu pelajar Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa di Gambang, Pahang sedang tekun mengulang kaji pelajaran dalam bilik yang sempit dan gelap.

Melihat kesusahan dialami anaknya bagi menyambung pelajaran, Nur Rizan tekad mencari pekerjaan supaya mampu menyediakan kelengkapan men­cukupi serta persekitaran yang selesa buat anaknya mengulang kaji dan mengikuti kelas secara dalam talian.

Jelasnya, dua anak lelakinya, Muhammad Afiq Daniel, 15, dan Muhammad Syafiq Haziq, 14, pula silih ganti berkongsi baju sekolah yang sama untuk hadir ke sekolah dengan berjalan kaki sejauh 2.2 kilometer manakala anak sulungnya, Siti Aminah, 21, yang mengalami masalah saraf sejak lahir turut bekerja sebagai pe­ngawal keselamatan bagi membantu keluarga.

“Saya hilang kerja awal tahun ini selepas satu-satunya pengangkutan yang ada iaitu motosikal saya rosak. Sejak itu, saya terputus punca pendapatan kerana sukar bergerak ke sana sini.

“Saya juga mempunyai komplikasi jantung, ada masanya sesak nafas dan tangan dan kaki terketar-ketar, susah melakukan kerja berat. Kini kami hanya bergantung kepada bantuan sara hidup Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) sejumlah RM400 sebulan,” katanya di sini semalam.

Kedai makan

Sebelum ini, Nur Rizan pernah bekerja di kedai makan berhampiran Masjid Jamek Kampung Melayu Majidee selain membantu kawannya membuat kuih dengan pendapatan keseluruhan RM500 sebulan.

Tambahnya, keprihatinan in­di­vidu tertentu yang membelikan mereka baju raya sedikit sebanyak mewarnai sambutan Aidilfitri pada tahun ini yang disambut dengan serba kekura­ngan.

Sementara itu, Siti Aisyah memberitahu, dia pernah tidak mengambil peperiksaan gara-gara komputer riba dihadiahkan ibu saudaranya rosak.

“Buat masa ini, saya hanya mengikuti pengajian dan me­lakukan tugasan menggunakan telefon bimbit, ada masanya saya terpaksa menumpang belajar di rumah jiran selain mendapatkan bekalan elektrik juga daripada mereka,” katanya.

Simpati dengan nasib keluarga berkenaan, Pengurus Pasaraya Econsave Cash and Carry, Mas Imran Adam meng­hulurkan sumbangan berupa barangan keperluan harian serta makanan dengan nilai keseluruhan RM1,000.

Orang ramai yang ingin memberi sumbangan boleh menyalurkannya menerusi akaun Bank Simpanan Nasional Nur Rizan bernombor 0115641000127623 atau Bank Muamalat milik Siti Aisyah 01010041078723 atau menghubungi Siti Aisyah di talian 010-2713929 bagi mendapatkan maklumat lanjut.- UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN