Lima beradik yatim hiba beraya tanpa bapa - Utusan Malaysia

Lima beradik yatim hiba beraya tanpa bapa

NOR Balqis Batrisya Razak (kanan) dan tiga adiknya mencuba pakaian raya dalam Program Kasih Ramadan EPIC Bersama Anak Yatim di Kuala Nerus, semalam. - UTUSAN/PUQTRA HAIRRY ROSLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA TERENGGANU: Hari Raya Aidilfitri yang akan disambut tidak lama lagi agak suram buat lima beradik di Kampung Losong Mat Shafie di sini, kerana buat pertama kalinya diraikan tanpa bapa tersayang.

Kakak sulung mereka, Nor Balqis Batrisya Razak, 15, berkata, bapanya yang bekerja sebagai buruh meninggal dunia akibat kanser hati pada 20 Januari lalu selepas tiga tahun menderita sakit berkenaan.

Katanya, walaupun sudah tiga bulan pemergian bapa, ahli keluarganya masih terkesan terutama ibu, Nor Baiti Ibrahim, 37, yang terpaksa menggalas tanggungjawab sebagai ketua keluarga.

“Sebelum ini, arwah ayah yang selalu bawa kami membeli baju dan bahan membuat biskut di samping rutin memasang pelita setiap malam tetapi semua hanya tinggal kenangan.

“Tahun ini tiada persiapan sebab ibu cuma suri rumah dan hanya bergantung kepada duit bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM850 sebulan untuk menyara kami adik-beradik termasuk yang bongsu, Mohd. Iman Rizqi berusia 18 bulan,” katanya ketika ditemui semalam.

Nor Balqis Batrisya bersama tiga lagi adiknya, Nor Balqis Baizlina, 13, Nor Balqis Ayuni, 11, dan Nor Balqis Adira, 6, antara 100 anak-anak yatim yang menerima bantuan baju raya sumbangan anak syarikat kerajaan negeri, Eastern Pacific Industrial Corporation Bhd. (EPIC).

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif EPIC, Ridzuan Ali berkata, sebanyak RM22,000 diperuntukkan bagi Program Kasih Ramadan pada tahun ini. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN