Lelaki ubah suai Proton Wira turbo ditahan

Lelaki ubah suai Proton Wira turbo ditahan

maut
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA : Tindakan seorang individu mengubah suai kenderaan Proton Wira kepada Turbo sehingga mengeluarkan bunyi bising akhirnya ditahan polis dalam operasi malam tadi.

Tindakan pengubah suaian terbabit telah ditularkan oleh pemilik kenderaan itu di YouTube.

Susulan itu, satu operasi dijalankan bermula pukul 10 malam hingga 4 pagi di sekitar pusat bandar, Jalan Pahang, Jalan Tun Razak , Jalan Kuching, Jalan Tunku Abdul Rahman, Jalan Raja Laut dan Lebuhraya Bertingkat Ampang-Kuala Lumpur (AKLEH).

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Sarifudin Mohd Salleh berkata, operasi khas dikenali ‘Op Tutup’ itu  dijalankan bagi menumpukan kenderaan yang parkir di kiri dan kanan Jalan Raja Laut kerana membuat bising dan mengganggu ketenteraman awam.

Menurutnya, sebanyak 25 kereta disita yang mana salah satunya Proton Wira yang sebelum ini tular selepas pemiliknya memuat naik video kenderaannya itu di YouTube.

“Semua kereta yang disita disiasat mengikut Seksyen 64 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan.

“Kenderaan yang disita akan diambil tindakan dan pemeriksaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) serta diarahkan mengubah ke struktur asal,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, kata beliau, secara keseluruhan, sebanyak 661 jumlah saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dan 53 motosikal disita atas kesalahan mengubah suai struktur kenderaan (ekzos).

Sarifudin berkata, dalam operasi itu, ebanyak 22 lelaki berusia 20 hingga 67 tahun ditahan kerana melakukan kesalahan mengikut Seksyen 45(A) Akta Pengangkutan Jalan 1987 iaitu memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Lima lelaki berusia 17 hingga 25 tahun pula ditahan kerana menunggang dalam keadaan merbahaya dan melakukan aksi zig-zag, roket, Superman serta bersaing untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Dua lelaki berusia 22 hingga 25 tahun melakukan kesalahan mengikut Seksyen 29(1) Akta Kesalahan-Kesalahan Kecil 1955 dan akan dituduh mengikut Seksyen 108(3)(e) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana kesalahan memalsukan nombor pendaftaran kenderaan,” jelasnya.

Tambah beliau, seorang lelaki warga China berusia 44 tahun yang ditahan turut disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana melakukan kesalahan menghalang tugas penjawat awam dalam operasi berkenaan.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN