GEORGETOWN: Polis giat mengesan rakan penyewa kepada lelaki warga Indonesia yang mayatnya ditemukan terjatuh dalam keadaan kaki kirinya diikat dengan rantai besi di apartment Eastern Court, Jelutong, di sini petang semalam.
Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya masih menjejaki lelaki berketurunan Serani berusia 52 tahun itu selepas dipercayai menghilangkan diri setelah kejadian berlaku.
“Setakat petang ini, polis masih mengesan lelaki yang juga rakan si mati yang menyewa di inap desa berkenaan bagi membantu siasatan kes tersebut. Siasatan dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian berlaku sama ada si mati terjun dari tingkat lapan inap desa terbabit atau sebaliknya.
“Bedah siasat ke atas mayat lelaki itu juga akan dijalankan di Hospital Pulau Pinang pada Isnin ini,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Terdahulu, Utusan Online melaporkan penemuan mayat seorang lelaki Indonesia berusia 33 tahun di pekarangan tempat meletak kereta di bawah perumahan itu kira-kira pukul 5.30 petang.
Mangsa dijumpai orang awam dalam keadaan kaki kirinya berantai besi selain mengalami pendarahan pada bahagian kepala. Kematian mangsa ketika ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR). – UTUSAN










