Lelaki Orang Asli lemas ketika mandi sungai - Utusan Malaysia

Lelaki Orang Asli lemas ketika mandi sungai

ANGGOTA bomba membantu membawa mayat lelaki Orang Asli yang ditemukan lemas di Sungai Ulu Menderang, Sungkai semalam. - UTUSAN/IHSAN JBPM PERAK
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TAPAH: Seorang lelaki Orang Asli berusia 24 tahun dipercayai lemas ketika mandi di Sungai Ulu Menderang berhampiran Kampung Orang Asli Ulu Menderang di Sungkai, semalam.

Mayat Ayunie Nasir ditemukan tersangkut pada akar pokok kira-kira 800 meter dari lokasi dia mandi oleh penduduk kampung sekitar pukul 9.30 malam.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintenden Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, sebelum kejadian itu, mangsa memaklumkan kepada ibunya yang dia mahu mandi di sungai berkenaan pada pukul 8 malam.

Bagaimanapun katanya, selepas satu jam, mangsa yang mandi seorang diri itu masih belum pulang ke rumah dan ibu mangsa segera mencarinya namun gagal.

“Wanita itu kemudian pulang ke rumah semula dan meminta bantuan penduduk kampung untuk mencari mangsa. Ketika kejadian keadaan hujan lebat dengan air sungai dalam dan berarus deras.

“Ibu mangsa bersama orang kampung mula mencari di tempat kebiasaan lelaki itu mandi sebelum menemukan lampu suluh milik mangsa. Mangsa ditemukan tersangkut pada akar pokok kira-kira 800 meter dari tempat kejadian. Kematian lelaki itu disahkan oleh penolong pegawai perubatan Hospital Slim River,” katanya di sini hari ini.

Menurut beliau, pemeriksaan pada fizikal mangsa tidak menemukan kesan luka atau cedera yang boleh dikaitkan dengan unsur jenayah.

Katanya, mangsa juga tidak mempunyai apa-apa penyakit dan tiada rekod rawatan hospital.

“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tapah untuk pengesahan Covid-19 dan bedah siasat bagi mengetahui punca kematian. Kes diklasifikasi mati mengejut,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Teruskan membaca

Nikmati akses tanpa had serendah RM9.90 sebulan

Sudah melanggan? Log Masuk untuk membaca berita sepenuhnya