Lelaki maut, kereta dipandu terbabas ke dalam anak sungai - Utusan Malaysia

Lelaki maut, kereta dipandu terbabas ke dalam anak sungai

SEORANG lelaki maut selepas kereta dipandunya terbabas ke dalam kawasan anak sungai dalam kejadian di Kilometer 15 Jalan Seremban-Kuala Pilah, Kuala Pilah malam tadi.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang pekerja kilang maut selepas kereta yang dipandunya terbabas ke dalam kawasan anak sungai di Kilometer 15 Jalan Seremban-Kuala Pilah di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani berkata, dalam kejadian pukul 9 malam itu, mangsa, Lokman Nurhakim Ariffin, 33, meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan di kepala dan tangan.

“Siasatan awal mendapati, kemalangan berlaku semasa mangsa yang memandu kereta Proton Saga dalam perjalanan dari Seremban menuju ke Kuala Pilah.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, dipercayai mangsa hilang kawalan dan terbabas sehingga ke dalam anak sungai di bahu jalan sebelah kiri arah Kuala Pilah.

“Akibat daripada kemalangan tersebut, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian. Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Tuanku Ampuan Najihah, Kuala Pilah bagi tujuan bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amran berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN