Lelaki maut, kereta dipandu bertembung lori - Utusan Malaysia

Lelaki maut, kereta dipandu bertembung lori

NAHAS dua buah kenderaan di Jalan Sawah Lebar-Sungkak, Kuala Pilah petang tadi yang mengorbankan seorang kakitangan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Pilah. - GAMBAR/IHSAN POLIS
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA PILAH: Seorang kakitangan Pejabat Tanah dan Daerah Kuala Pilah maut selepas terbabit dalam nahas dua kenderaan di Jalan Sawah Lebar – Sungkak, di sini petang tadi.

Dalam kejadian kira-kira pukul 3.55 petang itu, mangsa, Fariz Mustapa, 44, disahkan meninggal dunia oleh pasukan paramedik yang tiba di lokasi kejadian.

Ketua Polis Daerah Kuala Pilah, Superintenden Amran Mohd. Ghani berkata, kemalangan membabitkan kereta jenis Proton Persona yang dipandu mangsa dan sebuah lori jenis Hino.

“Berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku semasa pemandu lori berusia 27 tahun itu dalam perjalanan dari Sungkak menuju ke pekan Kuala Pilah.

“Apabila sampai di lokasi kejadian, pemandu lori dipercayai hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung kereta mangsa yang dari pekan Kuala Pilah menuju ke Sungkak,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Amran berkata, akibat daripada kemalangan tersebut, pemandu kereta meninggal dunia di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan pelbagai.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Tuanku Ampuan Najihah (HTAN) di sini untuk dibedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Pemandu lori pula menerima rawatan di zon kuning hospital yang sama. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN